PASUKAN penyelidik yang terbabit dengan projek pelindung muka.
PASUKAN penyelidik yang terbabit dengan projek pelindung muka.
Fazurawati Che Lah

PASUKAN teknikal dari Makmal Kejituan Mekanikal, Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) giat memantapkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan produk daya cipta yang diperlukan petugas barisan hadapan khususnya hospital bagi menangani wabak Covid-19.

Sinergi bersama Pusat Pengurusan Makmal Universiti (PPMU), Fakulti Teknologi dan Informatik Razak (FTIR) UTM, Pusat Jaringan Komuniti dan Industri (CCIN) UTM ini membabitkan penyelidik dan penuntut yang memanfaatkan sepenuhnya pengetahuan serta kemahiran mereka bukan sekadar berinovasi, malah mampu menghasilkan peralatan bagi menampung keperluan kakitangan perubatan walaupun mempunyai kekangan masa.

Memandangkan teknologi yang digunakan di makmal MJIIT antara teknologi yang paling canggih di negara ini, MJIIT berupaya menghasilkan produk inovasi dengan kadar segera, pengeluaran produk berkualiti tinggi dengan ergonomik yang lebih baik dan berdaya tahan.

Sebagai gambaran, pakar perubatan dari Pusat Pakar Perubatan UiTM Sungai Buloh dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesyorkan pelindung muka yang dihasilkan MJIIT sebagai kelengkapan yang selesa digunakan kakitangan perubatan walaupun selepas purata pemakaian 16 jam sehari.

Pemakaiannya masih membuatkan kakitangan perubatan selesa disebabkan penggunaan bahan berasaskan span yang digabungkan pada kerangka di dahi ditambah dengan penglihatan yang lebih baik yang diperbuat daripada bahan berlainan pada pelindung itu sendiri.

Jika dibandingkan dengan pembuatan pelindung muka percetakan tiga dimensi (3D) yang lain, teknologi yang digunakan dalam penghasilan pelindung muka di MJIIT diperbuat menggunakan 'laser-cutting' dengan bahan berkualiti tinggi.

DUA Alumni MJIIT yang turut membantu dalam R&D dan penghasilan inovasi pasukan UTMKL.
DUA Alumni MJIIT yang turut membantu dalam R&D dan penghasilan inovasi pasukan UTMKL.

'Laser-cutting' ini membolehkan penghasilan yang lebih efisien dan cepat jika dibandingkan dengan percetakan 3D.

Oleh itu, sebanyak 500 pelindung muka mampu dihasilkan dalam masa sehari dengan menggunakan teknologi ini dan diagihkan ke hospital yang memerlukan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor termasuk Sabah.

Sejajar dengan penghasilan pelindung muka, pengeluaran kotak aerosol berinovasi turut dilaksanakan oleh pasukan yang sama.

Menariknya projek ini adalah hasil idea dan inisiatif pencipta kotak aerosol yang gigih daripada tiga alumni MJIIT iaitu Syafreena Ezzany Ismail, Amalin Zahra Mohd Razi dan Puteri Nor Adilah Husin dengan bantuan penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Kejituan, Muhammad Latif Abdul Rohni.

Pengeluaran kotak aerosol ini dijalankan di Makmal Kejituan Mekanikal sendiri (proses pemotongan bahan) dan di makmal lain di UTM Kampus Kuala Lumpur untuk proses pemasangan.

Ketika pelaksanaan usaha ini, MJIIT dan UTM diundang untuk membantu penciptaan inovasi lain seperti robot penghantaran dan ventilator serta permintaan lain untuk diketengahkan sebagai produk inovasi daripada pelbagai institusi swasta dan awam.

Beberapa syarikat hiliran UTM ('spin-off') juga memberi galakan yang padu terhadap usaha murni ini dengan memberi bantuan kewangan dan perkhidmatan serta menghubungi rakan perniagaan yang lain untuk membantu dengan cara mereka yang tersendiri.

Salah satu daripada syarikat hiliran MJIIT, SHE Empire Sdn Bhd dengan jenama Naturel Kiss bersedia memberi sokongan dan komitmen untuk membantu, manakala syarikat hiliran UTM lain seperti ACTS Smart Solutions Sdn Bhd dan Dermags Sdn Bhd turut menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 April 2020 @ 6:31 AM