FRANCESCO Bagnaia. FOTO AFP
FRANCESCO Bagnaia. FOTO AFP
AFP

Mugello: Juara dunia dua kali, Francesco Bagnaia mahu membuktikan kemampuannya di depan penyokong sendiri pada Grand Prix (GP) Itali minggu ini.

Pelumba Ducati itu tampil di Mugello selepas meraih kemenangan di Catalunya, yang meletakkan pelumba dengan gelaran Pecco itu 39 mata di belakang pendahulu MotoGP, Jorge Martin.

Bekas juara enam kali, Marc Marquez menduduki tempat ketiga, dua mata di belakang Bagnaia, yang terlepas meraih mata dalam perlumbaan pecut selepas mengalami kemalangan ketika mendahului di pusingan terakhir, minggu lalu.

Di hadapan puluhan ribu penyokong yang memujanya, Bagnaia adalah pelumba yang perlu ditewaskan pada pusingan ketujuh musim ini di litar di mana dia pernah muncul sebagai pemenang sejak dua tahun lalu.

"Mugello adalah litar yang saya kagumi terutama sokongan daripada peminat," kata pelumba Itali berusia 27 tahun itu.

"Dengan perlu menekan brek yang keras dan jalan lurus yang panjang, ia adalah trek sesuai dengan gaya tunggangan saya," kata Bagnaia yang dilahirkan di Turin semasa sidang media.

Martin pula tidak sabar untuk meneruskan dominasinya di kedudukan teratas bersama jentera pasukan satelit, Ducati Pramac miliknya.

"Ini adalah hujung minggu yang sangat penting untuk saya dan pasukan, jadi saya benar-benar mahu menumpukan perhatian kepada perlumbaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2024 @ 10:10 AM