MARC Marquez. FOTO AFP
MARC Marquez. FOTO AFP
AFP

Lombok: Marc Marquez akan menyertai pasukan satelit Ducati Gresini Racing untuk musim 2024, kata pasukan itu hari ini, beberapa hari selepas dia mengumumkan akan meninggalkan Honda yang menyaksikannya memenangi enam kejuaraan dunia MotoGP.

"Keluarga Gresini dengan sukacitanya mengumumkan kehadiran Marc Marquez untuk musim 2024," kata pasukan itu dalam satu kenyataan di laman web MotoGP.

"Mulai musim depan, dia akan memberi standard baharu kepada pasukan MotoGP Gresini Racing bersama adiknya Alex," kata kenyataan itu lagi.

Pelumba Sepanyol berusia 30 tahun itu, yang mengalami kecederaan sejak permulaan musim 2020, mempunyai baki setahun dalam kontraknya selama empat tahun dengan Honda.

Kedua-dua pihak bersetuju berpisah setahun lebih awal.

"Saya teruja dengan cabaran baharu ini. Ia bukan satu keputusan yang mudah kerana ia adalah satu perubahan besar dalam segala perkara," kata Marquez.

"Tetapi kadangkala dalam kehidupan, adalah penting untuk keluar dari zon selesa anda untuk terus berkembang."

Katanya, dia perlu menyesuaikan gaya tunggangannya bersama pasukan baharu selepas bertahun-tahun di Honda.

"Ia tidak akan mudah. Tetapi saya pasti bahawa seluruh pasukan Gresini akan banyak membantu saya. Saya tidak sabar untuk mengenali pasukan dan mula bekerja dengan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 4:52 PM