MARQUEZ (kiri) dan Lorenzo bergandingan dalam pasukan Repsol Honda yang baharu. FOTO AFP
MARQUEZ (kiri) dan Lorenzo bergandingan dalam pasukan Repsol Honda yang baharu. FOTO AFP
AFP

JORGE Lorenzo membayangkan dia mungkin ‘angkat kaki’ selepas dua tahun yang mengecewakan bersama Ducati, namun juara MotoGP tiga kali ini kini memperolehi semangat baharu dan sekali lagi sedia mencabar penguasaan Marc Marquez yang juga rakan sepasukannya di Honda.

Marquez menguasai sukan itu sejak aksi pertama kategori utama pada 2013, menjuarai lima daripada enam kejuaraan terakhir manakala rakan senegara dari Sepanyol, Lorenzo menjadi penghalang Marquez mencapai kesempurnaan selepas menjulang gelaran 2015.

Bagaimanapun isu kecederaan kini menghantui kedua-dua pelumba menjelang perlumbaan pembuka tirai di Qatar hujung minggu ini.

Marquez menganggap kecergasannya hampir 100 peratus pulih selepas menjalani pembedahan bahu Disember lalu, manakala Lorenzo terlepas sesi ujian pra-musim di Sepang kerana tulang pergelangan tangannya retak sewaktu menunggang motosikal lasak.

Marquez baru menang sekali di litar Losail , Doha, venue di mana Lorenzo cemerlang sebanyak enam kali dalam tiga kategori termasuk tiga kemenangan MotoGP berturut-turut.

“Musim sejuk ini agak berbeza disebabkan pembedahan, saya bekerja keras dengan sesi fisio lima jam sehari dengan hanya satu matlamat: bermula dengan keadaan terbaik pada perlumbaan pertama tahun ini,” kata Marquez, 26.

“Pada sesi ujian di Qatar saya rasa jauh lebih baik berbanding sesi di Malaysia dan sekarang saya boleh katakan boleh bermula pada tahap hampir 100 peratus.”

Lorenzo, selepas kempen menghampakan pada 2017, bangkit dengan tiga kemenangan tahun lalu iaitu di Itali, Catalonia dan Austria sebelum kecederaan meranapkan bahagian akhir kempennya musim itu.

“Tahun lalu, secara jujurnya memang sukar dan saya melalui tempoh ketidakstabilan emosi. Saya mungkin membaling tuala (bersara) tetapi itu bukan diri saya,” kata Lorenzo di laman web rasmi MotoGP.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 10:51 AM