HANNAH  melawat pameran sukan permotoran  di Speedway Plus Karting Circuit. FOTO Bernama
HANNAH melawat pameran sukan permotoran di Speedway Plus Karting Circuit. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Denda antara RM50,000 sehingga RM500,000 boleh dikenakan kepada penganjur acara sukan bermotor di negara ini sekiranya mereka gagal memenuhi syarat memohon lesen penganjuran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) sepertimana termaktub di bawah Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.

Demikian tegas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kepada mana-mana penganjur yang gagal berbuat demikian bagi mengelakkan serta mengatasi perkara tidak diingini berlaku dalam mana-mana penganjuran sukan bermotor.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, selaku penganjur, mereka perlu memilih litar yang sudah melalui pemeriksaan oleh Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) serta memohon lesen untuk menganjurkan sukan bermotor.

"Semua penganjuran pertandingan bagi acara sukan bermotor di Malaysia perlu memohon kebenaran dan mendapatkan lesen penganjuran daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebelum tarikh perlaksanaan.

"Permohonan lesen untuk menganjurkan acara sukan bermotor perlu dibuat dalam tempoh 30 hari untuk acara tempatan dan 90 hari untuk acara antarabangsa sebelum pengnajuran acara sukan dilaksanakan.

"Ini selaras dengan Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576] yang memperuntukkan syarikat hendaklah memohon lesen untuk berpoerasi.

"KBS akan sentiasa bekerjasama dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk memastikan penganjur mematuhi semua peraturan yang ditetapkan dan tindakan perundangan boleh dikenakan sekiranya gagal mematuhi atau berlaku cuai sebelum, semasa dan selepas penganjuran," katanya pada sidang media penganjuran acara sukan bermotor di Malaysia, hari ini.

Jelas Hannah, gesaan kepada penganjur untuk memohon lesen penganjuran bukanlah perkara baharu, sebaliknya ia adalah peraturan yang sudah digunapakai sebelum ini.

"Selepas sidang media hari ini, tak ada lagi pihak yang mengatakan bahawa mereka tidak tahu perlu dapatkan lesen penganjuran," katanya.

Tindakan tegas KBS itu adalah bagi mengelak perkara tidak diingini sepertimana insiden pertandingan 'CCT Battle of Champion' di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, Pasir Salak, Perak, 31 Disember lalu yang menyebabkan seorang penonton maut.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Muhammad Amir Mohd Yusoff, 32, dari Taiping, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan, akibat kecederaan parah di kepala dan pendarahan di paru-paru.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 January 2023 @ 2:35 PM