AKSI  Syarifuddin  ketika sesi latihan bebas ketiga Moto3 2022, di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. FOTO Bernama
AKSI Syarifuddin ketika sesi latihan bebas ketiga Moto3 2022, di Litar Antarabangsa Sepang, hari ini. FOTO Bernama
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman berharap dapat mengatasi apa yang dicapai Khairul Idham Pawi pada penampilan musim penuhnya di Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan.

Jelas Syarifuddin atau Damok, bukan sesuatu yang mustahil untuk menyamai atau mengatasi rekod Khairul yang mencipta sejarah meraih dua kemenangan pada musim sulungnya dalam kelas Moto3 pada 2016.

"Sudah semestinya saya nak pecahkan rekod itu. Ia tidak mustahil untuk dilakukan.Sebab sekiranya dia (Khairul) boleh melakukannya, takkan saya tak boleh buat. Saya mesti kena buat juga," kata pelumba negara berusia 20 tahun itu.

Untuk rekod, Khairul sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi pelumba pertama negara yang memenangi perlumbaan Moto3 masing-masing di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman.

Semalam, Damok diumum secara rasmi menyertai saingan kelas Moto3 untuk musim depan bersama pasukan MTHelmets-MSi dari Sepanyol sekali gus menjadi pelumba negara ke-10 yang beraksi pada musim penuh di pentas dunia.

Antara pelumba yang pernah beraksi di pentas dunia pada musim penuh adalah Shahrol Yuzy Ahmad Zaini, Zulfahmi Khairuddin, Azlan Shah Kamaruzaman, Hafizh Syahrin Abdullah dan Adam Norrodin.

Pada musim ini, Damok sudah mengumpul 110 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan selain menyertai empat perlumbaan di Kejuaraan Dunia atas tiket wildcard termasuk di GP Malaysia, minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 6:27 PM