HAFIZH (kiri) gagal tamatkan perlumbaan di Assen.
HAFIZH (kiri) gagal tamatkan perlumbaan di Assen.

Kuala Lumpur: Masalah tayar sekali lagi membelenggu pelumba Moto2 negara Hafizh Syahrin Abdullah apabila gagal menamatkan perlumbaan pada pusingan kelapan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) TT Assen, Belanda semalam sekali gus yang pertama musim ini.

Bermula dari petak ke-20, pelumba PETRONAS Raceline Malaysia itu bergelut dengan masalah cengkaman tayar sejak awal lagi sebelum bersara selepas pusingan ke-14.

“Amat mustahil untuk berlumba hari ini (semalam). Tiada cengkaman langsung pada tayar belakang saya.

“Pusingan yang saya lalui amat sukar sebelum saya ambil keputusan untuk bersara.

“Kami melakukan yang terbaik sepanjang minggu ini untuk mencari pelarasan terbaik tapi dikecewakan dengan keputusan pada sesi kelayakan dan perlumbaan sebenar,” kata Hafizh.

Sementara itu, malang turut menimpa dua pelumba Moto3 negara Khairul Idham Pawi serta pelumba SIC Racing Team Adam Norrodin.

Khairul yang beraksi bersama Honda Team Asia turut gagal menamatkan perlumbaan selepas terjatuh pada awal perlumbaan sementara Adam sekadar menamatkan perlumbaan di tempat ke-19.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Jun 2016 @ 8:59 AM