HAFIZH (tengah) tekad pamer perlumbaan terbaik di WSBK 2022. FOTO instagram hafizh_syahrin
HAFIZH (tengah) tekad pamer perlumbaan terbaik di WSBK 2022. FOTO instagram hafizh_syahrin
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Penamat dalam kelompok 10 terbaik pada setiap pusingan perlumbaan kempen Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) 2022 menjadi sasaran utama buat pelumba dua roda sensasi negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Hafizh yang baharu menimang cahaya mata sulung baru-baru ini dalam satu temubual bersama WSBK berkata, dia mahu memberikan saingan kepada pencabarnya dalam kelas WorldSBK.

"Saya masih belum mencuba motosikal tetapi saya percaya daripada pertengahan musim lalu, motosikal semakin baik. Ia meningkat dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan.

"Saya mahu berada dalam kelompok 10 terbaik dalam setiap perlumbaan dan cuba memberikan tentangan kepada semua pelumba. Saya mengenali beberapa pelumba terutama seperti Andrea Locatelli, Alvaro Baustista dan beberapa lagi yang pernah beraksi di MotoGP sebelum ke WorldSBK.

"Ini juga termasuklah dengan pencabar baharu, sudah pasti saya mempelajari sesuatu daripada Toprak Razgatlıoglu apatah lagi dia seorang yang muda dan sangat pantas serta pelumba legenda di WorldSBK, Jonathan Rea.

"Ia satu cabaran besar buat saya tetapi saya akan cuba berikan yang terbaik. Pengalaman saya di MotoGP, sudah tentu saya akan gunakan di WorldSBK," kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Bagi musim 2022, Hafizh akan mewakili pasukan MIE Racing Honda Team menggunakan jentera CBR1000RR-R dan bergandingan bersama pelumba Argentina, Leandro Mercado.

Kalendar WSBK 2022 bakal menyaksikan 12 pusingan berlangsung dengan tirai saingan pembukaan dijadual bertempat di Litar Aragon, Sepanyol dari 8 hingga 10 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 5:26 PM