SYARIFUDDIN Azman. -FOTO Arkib
SYARIFUDDIN Azman. -FOTO Arkib
Oleh Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Pelumba negara, Syarifuddin Azman masih menyimpan impian untuk mencipta sejarah muncul pelumba pertama negara menjuarai Kejuaraan Dunia JuniorGP 2022 bagi kelas Moto3 meskipun misinya itu tampak sukar.

Ini kerana, pelumba SIC Racing yang dikenali dengan Damok itu ketinggalan agak jauh berbanding pendahulu carta pelumba yang juga rakan sepasukannya, Jose Antonio Rueda iaitu 81 mata.

Damok yang ketika ini menduduki tempat kedua keseluruhan dengan mengumpul 97 mata bagaimanapun enggan berputus asa dan mahu meraih mata semaksimum mungkin pada baki tiga pusingan perlumbaan lagi.

"Sasaran saya adalah untuk atasi rakan sepasukannya saya sendiri, tak kisah walau apa pun terjadi. Saya akan tetap cuba berada di atas podium atau di kedudukan nombor satu bagi mendapatkan mata sebanyak mungkin.

"Masih ada tiga perlumbaan lagi dan jarak perbezaan mata saya dengannya adalah 81 mata. Bermakna saya perlu memenangi setiap baki perlumbaan untuk atasinya," katanya.

Damok juga mengharapkan sesuatu berlaku kepada rakan sepasukannya seperti gagal menamatkan perlumbaan bagi membolehkannya terus mengejar Rueda.

Baki tiga pusingan yang dimaksudkan adalah di Litar Misano pada 3 September ini sebelum beralih ke Litar Aragon, awal Oktober dengan saingan kemuncak dijadual berlangsung di Litar Ricardo Tormo pada penghujung Oktober.

Musim ini adalah pencapaian paling cemerlang Damok di JuniorGP berbanding dua musim sebelum ini apabila meraih tiga penamat di tempat kedua, masing-masing di Catalunya, serta Algarve.

Pelumba negara berusia 21 tahun itu sebelum ini diumum bakal beraksi di Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), bermula 21 sehingga 23 Oktober depan menerusi tiket wild card bersama pasukan VisionTrack Racing Team.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 12:31 PM