SYARIFUDDIN pada sesi latihan bebas di SIC, hari ini. FOTO OSMAN ADNAN
SYARIFUDDIN pada sesi latihan bebas di SIC, hari ini. FOTO OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran


Sepang: Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin mengakui terpaksa mengambil risiko besar untuk memastikan pelumba negara, Syarifuddin Azman beraksi dalam musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia bersama MT Helmets MSi dalam kelas Moto3, pada tahun depan.

Zulfahmi selaku pihak yang menguruskan Syarifuddin atau Damok melakukan keputusan itu tanpa membabitkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) atau pihak lain seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Sebenarnya rundingan Damok ke Kejuaraan Motosikal Dunia memang dibuat pihak ZK Racing iaitu saya sebab ada beberapa aspek perlu saya lihat kerana SIC pun belum bagi apa-apa haluan lagi kepada saya untuk 2023.

"Jadi dengan kapasiti saya sebagai pasukan menguruskan Damok, kita ambil risiko untuk tandatangani kontrak dengan MT Helmets MSi.

"Ia adalah pasukan terbaik selepas melakukan rundingan dengan banyak pasukan lain," katanya pada sidang media hari ini.

Jelas bekas pelumba negara itu, rundingan untuk memastikan Damok beraksi pada musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia pada tahun depan perlu dilakukan dengan cepat.

"Kita tak nak lagi berunding secara lambat sebab masa untuk mendapatkan tempat di Kejohanan Dunia tak terlalu lama. Sekitar Oktober segala-galanya perlu dimuktamadkan.

"Jika mahu menunggu bajet daripada SIC atau KBS, ia akan mengambil masa yang lambat.

"Mungkin bulan Disember pun saya tak tahu lagi bajet itu ada atau tak. Sekarang ini saya ambil risiko untuk tandatangan kontrak bagi pihak SIC di bawah ZK Racing untuk Damok berlumba di Kejohanan Dunia pada tahun depan.

"Jadi saya dengan Damok atau pasukan saya perlu berunding dengan mana-mana penaja untuk meneruskan perjuangan ini bagi membawa Damok ke Kejohanan Dunia pada tahun depan," katanya.

Damok ketika ini menduduki keempat dengan mengumpul 110 mata dalam kelas Moto3 di Kejohanan Dunia JuniorGP.

Dia beraksi menerusi tiket wild card bersama pasukan Vision Track Racing di Petronas Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia dekat Litar Antarabangsa Sepang (SIC) minggu ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Oktober 2022 @ 5:34 PM