AZHAN Shafriman berkata SIC akan meneruskan rundingan dengan kerajaan berhubung bajet yang diperlukan. FOTO OSMAN ADNAN
AZHAN Shafriman berkata SIC akan meneruskan rundingan dengan kerajaan berhubung bajet yang diperlukan. FOTO OSMAN ADNAN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tetap berusaha untuk menaja pelumba negara, Syarifuddin Azman yang akan beraksi dalam musim penuh di Kejuaraan Motosikal Dunia bersama MT Helmets MSi dalam kelas Moto3, pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, pihaknya serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sememangnya akan terus komited untuk membantu pelumba negara termasuk Syarifuddin atau lebih dikenali Damok.

Cuma katanya, ketika ini pihaknya belum dapat memberi sebarang kata putus kerana perlu menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serta kerajaan baharu yang akan dibentuk kelak bagi meneruskan rundingan dengan pihak kerajaan berhubung bajet yang diperlukan.

"Kami perlu menunggu kerajaan baharu yang akan dibentuk nanti untuk membentangkan bajet bagi menyokong pelumba berbakat yang ada. Sudah pasti kita akan terus memberi sokongan tetapi untuk ketika ini ZK Racing mengetuainya.

"Bermakna, cuma dari segi berapakah jumlah (tajaan) yang akan kita sokong untuk Damok, itu belum tahu lagi," katanya.

Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin menerusi laporan Arena Metro sebelum ini mengakui terpaksa melakukan keputusan untuk memastikan Damok beraksi pada musim penuh di Kejuaraan Dunia pada tahun depan tanpa membabitkan SIC atau KBS.

Bekas pelumba negara itu berkata, rundingan itu perlu dilakukan dengan cepat kerana slot untuk mendapatkan pasukan di Kejuaraan Dunia sememangnya sangat singkat dan ia perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada bulan ini.

Damok ketika ini menduduki keempat dengan mengumpul 110 mata dalam kelas Moto3 di Kejohanan Dunia JuniorGP.

Dia beraksi menerusi tiket wild card bersama pasukan Vision Track Racing di Petronas Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia semalam yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 2:01 PM