GP Miami akan berlangsung di perkarangan Stadium Hard Rock. FOTO Agensi
GP Miami akan berlangsung di perkarangan Stadium Hard Rock. FOTO Agensi
AFP

Paris: Penganjur perlumbaan Grand Prix (GP) Formula Satu (F1) pertama di Miami yang akan berlangsung tahun depan berkata, litar mereka akan merangkumi pemandangan luar biasa bagi mencipta perlumbaan yang sedikit berbeza.

Rakan Pengurusan, Tom Garfinkel juga berkata, beliau berharap perlumbaan di Florida akan menaik minat penonton baru di Amerika Syarikat (AS) yang tertarik dengan siri Netflix mengenai suasana belakang tabir F1.

Litar berkenaan dibina mengelilingi kompleks Stadium Hard Rock, gelanggang rasmi pasukan NFL, Miami Dolphins.

"Kami mencuba untuk mencipta litar yang mempunyai banyak laluan menarik, jadi kami harap ia akan menjadi satu perlumbaan luar biasa. Perlumbaan di sini diharap menawarkan sesuatu yang berbeza," kata Garfinkel.

Perlumbaan di Miami pada 8 Mei bakal menjadi yang kedua di AS selepas Austin dan menunjukkan cita-cita tinggi pemilik F1, Liberty Media untuk mengembangkan sukan berkenaan di sana.

"Saya tahu memperluas pasaran di AS adalah sebahagian besar agenda F1 pada masa ini.

"Tentunya ada banyak minat, baik dari penaja korporat dan juga dari peminat perlumbaan dan dari orang-orang yang ingin datang merasai pengalaman F1 di AS," kata Garfinkel.

Garfinkel berkata, 200,000 peminat sudah menyatakan hasrat untuk membeli tiket, suku daripadanya adalah dari luar AS, walaupun kapasiti untuk perlumbaan itu terhad kepada 80,000 penonton bagi perlumbaan sulung di Miami.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 11:06 AM