Hafizh Syahrin bersama kereta akan dipandu pada Malaysia S1K. FOTO OWEE AH CHUN
Hafizh Syahrin bersama kereta akan dipandu pada Malaysia S1K. FOTO OWEE AH CHUN
BERNAMA

KERJA gila!

Itu ungkapan paling sesuai untuk menggambarkan pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah apabila dia akan beraksi di Sepang 1,000 km (S1K) Endurance Race beberapa hari selepas perlumbaan terakhir Kejuaraan MotoGP di Valencia.

Pelumba Red Bull KTM Tech 3 itu akan berlumba di Grand Prix Valencia di Sepanyol pada 15-17 November dan pulang ke tanahair untuk perlumbaan S1K pada 22-24 November.

Pelumba dari Ampang, Selangor itu akan bergandingan dengan Alister Yoong dan Bradley Benedict Anthony dalam perlumbaan kereta S1K kategori SP2.

Dia hanya berpeluang berlatih sekali sahaja sebelum aksi sebenar.

“Saya ahli sukan (sportsman) yang tidak boleh duduk diam. Saya akan ke Valencia minggu depan dan akan terus balik ke Malaysia untuk S1K dan kembali ke Valencia untuk uji jentera baru dengan pasukan Angel Nieto.

“Saya hanya ada satu peluang berlatih dengan pasukan S1K tapi tiada yang mustahil. Saya yakin boleh lakukan yang terbaik di perlumbaan S1K nanti walaupun kurang latihan.

“Ini adalah cabaran luar biasa tapi satu pengalaman sangat bermakna,” katanya pada sidang media Hi-Rev Dream Chaser bersama Hafizh Syahrin di Petaling Jaya, hari ini.

Hafizh yang akan berlumba dengan kereta Toyota Vios angka 910 pada S1K diberikan syarat oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk menyertai kejohanan antarabangsa untuk membolehkan beliau menyertai FIA World Touring Car Cup (WTCR) pada 15 Disember ini.

Hafizh Syahrin bukan hanya menyertai perlumbaan kereta di WTCR malah akan menunggang motosikal perlumbaan endurance Sepang 8 Hours untuk FIM Endurance World Championship (EWC) bersama-sama Franco Morbidelli dan Michael van der Mark.

Pelumba digelar Pescao itu akan mewakili pasukan Sepang Racing Team bagi perlumbaan dua dan empat roda Litar Antarabangsa Sepang.

“Bagi saya tekanan pasti ada kerana perlumbaan lapan jam memerlukan kekuatan fizikal yang mantap dan tidak perlu jentera yang laju.

Cukup dengan jentera yang konsisten tanpa sebarang masalah teknikal dan kesilapan sendiri.

“Tidak susah untuk menangani jentera bagi perlumbaan lapan jam itu tapi yang agak merisaukan ialah WTCR kerana ada lapan juara dunia yang turut serta.

Saya tidak boleh janjikan apa-apa keputusan tapi saya boleh beri keyakinan yang saya akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Ketua pegawai eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata beliau memilih Hafizh Syahrin untuk perlumbaan WTCR untuk mencipta kelainan sekali gus menarik minat peminat sukan permotoran menyaksikan perlumbaan itu.

“Kenapa kita pilih Hafizh, sebab ini adalah acara baharu yang menggantikan Formula Satu (F1) di Litar Sepang.

Ini adalah untuk menarik lebih ramai penonton, kita tahu Hafizh ada ramai peminat yang ikut setiap perlumbaan dia. Dia tarikan utama untuk WTCR,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 November 2019 @ 3:36 PM