KEJAYAAN Alia didorong ibu bapa, keluarga dan pasukannya iaitu CHV Racing Team.
KEJAYAAN Alia didorong ibu bapa, keluarga dan pasukannya iaitu CHV Racing Team.
Suliati Asri

AKSI yang bersahaja saat mengendalikan motosikal berkuasa tinggi Honda CBR250RR nyata mencuri tumpuan.

Kelincahan dan saingan yang diberikan saat beraksi di litar lumba setanding dengan pelumba lelaki. Namun, siapa sangka di sebalik sut sukan itu adalah gadis manis bernama Siti Norsyafiyah Alia Saarizan, 20.

Lebih membanggakan, Siti Norsyafiyah Alia yang lebih mesra disapa Alia ini tidak hanya sebaris dengan pelumba negara tetapi juga adalah protege Pelumba Supermoto Negara, Khairulamirin Yahaya.

Minatnya dalam sukan permotoran bermula ketika berusia lima tahun apabila sering mengikut bapanya menguruskan pelumba dalam beberapa siri perlumbaan motosikal peringkat kelab.

Minat itu terus berkembang ketika menyertai Klinik Cub Prix pada 2018 sekali gus membuatkannya nekad untuk terus berkecimpung dalam sukan permotoran dan tidak lagi menoleh ke belakang.

Sejak itu, Alia terus meneruskan mengorak langkah dan mengumpul pengalaman dalam pelbagai perlumbaan sehingga berjaya membuat penampilan sulung di Cub Prix Malaysia (MCP) pada 2020.

Sehingga kini, pelbagai kejayaan yang dikecapi dan lebih membanggakan Alia memperoleh kontrak perlumbaan jangka panjang dengan CHV Racing mulai 2023 sehingga 2026 dan berlumba di Kejuaraan Superbike Malaysia di atas Honda 2021CBR250RR.

Meskipun sukan ini sangat sinonim dengan kaum lelaki tetapi itu bukan penghalang buatnya.

Alia berkata, deruan adrenaline dan kelajuan jentera ketika berlumba di dalam litar membuatnya semakin jatuh cinta dengan sukan ini.

"Apa yang membuatkan saya lebih menyukai sukan ini kerana ia banyak memberi pengajaran kepada saya seperti semangat kesukanan dan tidak mudah berputus asa.

"Selain itu, suasana dan persekitaran yang berbeza ketika berlumba juga menjadi asbab kepada saya agar lebih percaya dan yakin pada diri sendiri dalam setiap keputusan yang dilakukan serta mengharungi segala cabaran tanpa rasa sangsi atau gentar," katanya.

Sepanjang berkecimpung dalam sukan ini, Alia melalui pelbagai kenangan pahit dan manis yang mewarnai perjalanannya dalam sukan permotoran yang sangat diminati ini.

"Antara kenangan pahit yang tidak dapat dilupakan apabila saya tidak dapat menamatkan perlumbaan di atas beberapa faktor.

"Bukan itu saja, saya juga pernah berdepan dengan beberapa kecederaan sekali gus memerlukan saya menjalani sesi pemulihan yang memakan masa lama.

"Untuk kenangan manis pula, antara yang saya tidak dapat lupakan adalah ketika mendapat podium di tempat ketiga sekali gus menempah tempat keempat bagi kedudukan keseluruhan perlumbaan pada musim lalu.

AKSI Alia ketika yang memukau penonton ketika beraksi di litar.
AKSI Alia ketika yang memukau penonton ketika beraksi di litar.

"Kejayaan mencapai target peribadi dengan membuat catatan masa terbaik berbanding tahun lalu juga tidak hanya menjadi kenangan manis buat saya tetapi juga pemangkin semangat untuk terus berjaya dalam bidang ini," katanya.

Sebagai pelumba dan dalam masa yang sama adalah pelajar jurusan Undang-undang dan Perdagangan di Management & Science University (MSU), Alia tidak terlepas dari merasa lelah malah hampir putus asa.

Mengulas lanjut, Alia berkata, penat tidak akan pernah habis walau apapun yang kita lakukan. Hal ini kerana dia perlu membahagikan masa untuk belajar dan pada masa yang sama menjalankan latihan bagi persediaan perlumbaan.

"Kadang kala, jadual saya amat padat sepanjang minggu menyiapkan tugasan serta ujian atau kuiz dan pada masa yang sama perlu melakukan persediaan bagi perlumbaan akan datang.

"Keadaan ini membuatkan saya hampir berputus asa dengan apa yang dilakukan.

"Bagaimanapun, saya cekalkan hati dan sentiasa mengingatkan diri bahawa segala usaha yang lakukan adalah demi ibu bapa dan ahli keluarga yang tersayang,"katanya.

Apabila melalui saat-saat sukar, Alia tidak pernah merasa tertekan kerana dorongan paling utama datang dari kedua-dua ibu bapa, ahli keluarga serta pasukannya iaitu CHV Racing Team.

"Mereka sentiasa memberi kata-kata semangat dan suntikan positif supayasaya sentiasa berasa dalam persekitaran yang baik.

"Malahan, impian dan cita-cita sebagai seorang yang mempunyai karier dalam jurusan yang diambil di universiti juga menjadi pendorong paling kuat buat diri saya agar terus berusaha mencipta kejayaan pada masa akan datang.

Tidak hanya aktif dalam bidang permotoran, Alia juga terbabit dengan pelbagai acara dan pertandingan antaranya Sirkit Boling Tenpin Majlis Sukan Sekolah Negeri (MSSN) Perak; Kejohanan Bola Jaring Peringkat Daerah; Kejohanan Bola Tampar Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Larut, Matang dan Selama (LMS); dan Kejohanan Bola Tampar MSSD serta Hari Sukan Negara Virtual Cyclorun MEDAC & UDA.

Selain sukan, Alia turut terbabit dalam pertandingan Poetry Recitation Peringkat Zon Trong, Perak, serta pemenang bagi acara Physics Best Team PBL Science.

Pembabitannya dalam sukan permotoran ini terus mendapat perhatian apabila Alia yang juga alumni Kursus Teknologi Motosikal dari GiatMara, Beruas, Perak menjadi finalis Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Negeri Selangor 2024 berikutan pembabitannya secara aktif dalam pelbagai aktiviti pembangunan belia.

Walaupun hanya menjadi finalis, namun Alia bersyukur dan bangga kerana dapat berjumpa dengan finalis lain yang banyak berbakti kepada komuniti dan negara.

"Menjadi finalis untuk anugerah ini juga sedikit sebanyak menyuntik semangat dan motivasi dalam diri saya untuk terus berusaha dalam bidang permotoran ini.

"Pada masa sama, ia juga memberi peluang kepada saya untuk memberi pendedahan kepada anak muda diluar sana agar menjadikan sukan permotoran sebagai salah satu sukan yang berfaedah apabila menggunakan saluran yang betul," katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depannya Alia berkata, dia mahu menyertai perlumbaan di peringkat Asia dan Eropah bagi menambah pengalaman berlumba di negara orang serta mengukuhkan nama dalam bidang ini.

"Saya juga merancang dan berhasrat untuk bekerjasama dengan beberapa jenama atau produk tempatan dan luar negara sebagai salah satu langkah usaha untuk membantu mereka," katanya yang menjadikan pelumba motosikal Sepanyol, Ana Carassco Gabarron sebagai idola dan sumber rujukan dari segi tunggangan dan latihan kecergasan.

Selain Ana Carassco, Alia juga menjadikan ibu bapa sebagai idola kerana mereka banyak mengajarnya erti menghargai orang sekeliling dan percaya bahawa setiap usaha yang baik adalah pelaburan yang akan mendatangkan hasil serta manfaat pada kehidupan pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2024 @ 7:01 AM