HAMILTON menjulang trofi kemenangan selepas mengungguli GP Bahrain. FOTO AFP
HAMILTON menjulang trofi kemenangan selepas mengungguli GP Bahrain. FOTO AFP
AFP

Sakhir: Lewis Hamilton melakar kemenangan ke-95 sepanjang kariernya di Grand Prix (GP) Bahrain awal pagi tadi pada perlumbaan yang menyaksikan Romain Grosjean berdepan insiden kemalangan mengerikan sehingga dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.

Hamilton yang sudah mengesahkan kejuaraan dunia buat kali ketujuh, meraih kemenangan ke-11 musim ini bersama jentera Mercedes dengan pemanduan cemerlang di Litar Sakhir yang mencabar.

Dia menamatkan pelumbaan di depan pemandu Red Bull, Max Verstappen dan memuji operasi keselamatan moden yang menyelamatkan Grosjean selepas jenteranya terbelah dua sebelum terbakar.

"Ia insiden yang amat mengejutkan," kata Hamilton yang perlu menunggu hampir 90 minit bersama pemandu lain untuk memulakan semula perlumbaan selepas insiden itu.

"Apabila saya masuk ke dalam kereta, saya sedar akan menggalas risiko tinggi. Saya tidak tahu apa yang dilakukan tetapi rasa bersyukur Grosjean terselamat daripada insiden itu.

"Ia mungkin akan menjadi lebih buruk tetapi saya rasa ia juga memberi peringatan kepada kami. Kepada anda yang menyaksikan perlumbaan ini, ingatlah ia adalah sukan berbahaya.

"Kami cuba mengawal jentera selaju yang mungkin tetapi anda juga harus menghormatinya.

"Ia menunjukkan tugas cemerlang dilakukan oleh Formula Satu dan FIA."

Grosjean gagal mengawal jentera Haas dipandunya sebelum melanggar penghadang tepi dan kemudian dilihat terbakar.

Dia terperangkap di dalam kokpit ketika kebakaran itu sebelum pasukan keselamatan berjaya mengeluarkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 10:45 AM