ATLET India, Neeraj Chopra menunjukkan pingat emas dimenangi dalam acara merejam lembing di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
ATLET India, Neeraj Chopra menunjukkan pingat emas dimenangi dalam acara merejam lembing di Tokyo 2020, hari ini. FOTO EPA
AFP

Tokyo: Neeraj Chopra menang pingat emas acara merejam lembing lelaki, hari ini, sekali gus emas pertama India bagi olahraga dalam sejarah Sukan Olimpik.

Chopra, 23, menang dengan catatan 87.58 meter (m) dan mengatasi pencapaian terbaik India sebelum ini selepas menang perak acara 200m dan 200m lompat berpagar menerusi atlet British-India, Norman Pritchard di Olimpik Paris 1900.

Bagaimanapun, dua atlet Republik Czech memenuhi podium di Stadium Olimpik Tokyo apabila Jakub Vadlejch menang perak dengan catatan 86.67m dan Vitezslav Vesely menang gangsa dengan 85.44m.

Kemenangan itu menamatkan penantian 121 India untuk menang emas olahraga.

"Ini adalah emas pertama kami di Sukan Olimpik dalam tempoh yang sangat lama dan dalam olahraga, ia memang lama," kata Chopra.

"Ini adalah saat membanggakan buat saya dan negara saya. Ia sukar dipercayai."

Muzik Bollywood mula bergema di stadium selepas Chopra melakukan rejaman keenam dan terakhir, selepas dia mengesahkan emas menjadi miliknya.

Anak petani itu kemudian berlari separuh padang dengan bendera India di bahunya.

Chopra datang ke Tokyo 2020 dengan rejaman keempat terbaiknya pada tahun ini dan meneruskan prestasi cemerlang mengatasi atlet Jerman, Johannes Vetter yang gagal mara dalam kelompok lapan terbaik.

Vetter yang berjaya membuat tujuh rejaman lebih 90m antara April dan Jun tahun ini termasuk pencapaian terbaik 96.29m, sekadar menduduki tempat kesembilan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 10:34 PM