PRESIDEN MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
PRESIDEN MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan (PJS) seharusnya menjadi entiti 'putih'dengan tidak berburuk sangka kepada badan sukan lain seperti Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, PJS juga seharusnya menjadi pemerhati yang bagus dan baik seterusnya tidak terlalu cepat membuat andaian hingga mengundang pelbagai isu berbangkit.

Beliau berkata, masalah yang ditimbulkan PJS ketika ini bukanlah kecil atau remeh sekali gus memerlukan campur tangan 'abang besar'seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjernihkan keadaan.

"Sudah beberapa tahun kita diiktiraf dengan mendapat lima bintang selain tatakelola juga adalah baik.

"Jangan ada buruk sangka kerana U (PJS Suhardi Alias) baru pegang satu pegang terus lompat kepada kesimpulan.

"Yang Berhormat Menteri (Hannah Yeoh) sudah membentuk keadaan yang harmoni. Kita mahu campur tangan Menteri kerana seseorang sepatutnya jadi 'neutral' dan putih," katanya, ketika ditemui, selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Yayasan ASTRO Kasih di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini, sebentar tadi.

Terdahulu, tular menerusi aplikasi WhatsApp klip audio berdurasi satu minit 20 saat memetik Suhardi mengugut membatalkan pendaftaran MOM.

Rakaman perbualan itu dipercayai dibuat ketika perjumpaan antara Suhardi dan dua kumpulan mewakili kelompok pucuk pimpinan e-sukan berhubung pendaftaran dan keahlian antarabangsa sebuah badan induk sukan berkenaan pada 14 November lalu.

Sementara itu, KBS bakal mengatur pertemuan bersama Majlis MOM susulan 'perang' antara PJS dengan badan induk itu. Pejabat PJS dalam satu kenyataan mengesahkan perkara itu dengan pertemuan antara KBS dan MOM akan dilangsungkan dalam jangka masa terdekat.

"PJS menyatakan kekesalan atas kenyataan susulan yang telah dikeluarkan berikutan isu salah faham antara PJS dan MOM yang berlaku baru-baru ini.

"Justeru, satu perjumpaan akan diaturkan antara KBS dan MOM dalam jangka masa terdekat untuk menjelaskan konteks sebenar perkara ini.

"KBS yakin bahawa dengan sesi perjumpaan ini, semua pihak akan mendapat pencerahan dan salah faham ini dapat diselesaikan secara baik," kata PJS dalam satu kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 12:53 PM