REEZAL Merican  (duduk, dua, kiri) semasa mengadakan lawatan meninjau persiapan terakhir atlet berbasikal negara di Velodrom Nasional, hari ini. FOTO Bernama
REEZAL Merican (duduk, dua, kiri) semasa mengadakan lawatan meninjau persiapan terakhir atlet berbasikal negara di Velodrom Nasional, hari ini. FOTO Bernama
BERNAMA

Nilai: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menerima sebarang maklumat berhubung keputusan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 Datuk Lee Chong Wei, untuk tidak menyertai kontinjen negara ke temasya sukan terbesar dunia itu, bulan depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau sering berhubung dengan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, mengenai perkembangan kontinjen negara menjelang Sukan Olimpik Tokyo, namun tidak dimaklumkan akan perkara itu.

"Kelaziman dalam soal CDM (chef de mission) keputusan dibuat MOM dan MOM biasanya akan memaklumkan kepada saya, tapi pada waktu ini maklumat itu belum lagi sampai, belum lagi dimaklumkan kepada saya tentang kedudukan Chong Wei, atau pun kalau ada sebarang kemungkinan perubahan yang akan berlaku.

"Jadi saya serahkan semuanya kepada MOM," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan terakhir skuad berbasikal trek negara ke Sukan Olimpik di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai di sini, hari ini.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik tiga kali, dilaporkan tidak akan menyertai atlet negara ke Tokyo susulan faktor kesihatan.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan skuad berbasikal trek negara, Reezal berkata dua atlet iaitu jaguh dunia Azizulhasni Awang dan Muhammad Shah Firdaus Shahrom, menunjukkan keazaman tinggi dalam usaha mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia.

Beliau berkata kedua-dua atlet itu juga bersedia sepenuhnya, malah kini berada pada tahap semangat tertinggi untuk memberikan persembahan terbaik di Tokyo.

"Saya yakin dengan persiapan serta bantuan jurulatih John Beasley dan pembantunya, atlet berbasikal trek negara yang akan mewakili Malaysia ke Olimpik nanti, terutama dalam acara keirin dan pecut, bakal memberi satu harapan kepada kita," katanya.

Reezal dari jauh turut sempat memberikan kata-kata semangat kepada Azizulhasni dan Shah Firdaus, yang berada dalam gelembung sukan ketika ini.

"Saya kata 'fight on', itulah satu kata-kata hikmah Jepun, Gambate, jadi inilah semangat yang perlu dibawa ke Tokyo," kata Reezal.

Dalam pada itu, Azizulhasni dan Shah Firdaus, masing-masing meraih pingat emas acara pecut dan keirin pada kejohanan simulasi Sukan Olimpik di Velodrom Nasional Malaysia yang berakhir hari ini.

Kejohanan simulasi selama tiga hari itu disertai barisan atlet podium dan pelapis skuad berbasikal trek negara yang berada dalam gelembung sukan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Jun 2021 @ 4:57 PM