Ariana Nur Dania Zairi (tengah) meraih pingat emas di Kejohanan Kelayakan Benua Asia Sukan Olimpik Paris 2024 sekaligus menemah tempat ke temasya sukan terbesar dunia itu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Ariana Nur Dania Zairi (tengah) meraih pingat emas di Kejohanan Kelayakan Benua Asia Sukan Olimpik Paris 2024 sekaligus menemah tempat ke temasya sukan terbesar dunia itu. FOTO Ihsan Majlis Sukan Negara
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) mengesahkan pemanah recurve wanita negara Ariana Nur Dania Zairi secara rasmi layak untuk bertanding mewakili negara di Sukan Olimpik Paris 2024, tahun depan.

Presiden NAAM, Datuk Abdul Hamid Hasan berkata, Ariana mempamerkan aksi memukau sekali gus mampu mengalahkan lawannya yang lebih berpengalaman.

"Saya sahkan beliau layak untuk beraksi di sana (Paris) sebagai wakil negara. Dia mempamerkan aksi terbaik dan membanggakan negara," katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan atlet berusia 18 tahun itu layak secara merit dan menjadi wakil keempat negara mengesahkan kedudukan untuk beraksi di temasya empat tahun sekali itu.

Dia mencatatkan mata keseluruhan 649 mata dan menguasai tempat pertama di Kejohanan Kelayakan Benua Asia Sukan Olimpik Paris 2024, sekali gus memecahkan rekod baru kebangsaaan bagi acara recurve wanita 36 anak panah dari jarak 70 meter.

Pemanah muda itu tidak berhadapan masalah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menewaskan pemanah Iran, Yasna Pour Mahani dalam aksi separuh akhir untuk ke final.

Ariana kemudian terus mencuri tumpuan dalam aksi final, di mana menewaskan pemanah Uzbekistan, Ziyodakhon Abdusattorova, 7-3 untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Sebagai rekod, Ariana layak secara merit ke temasya sukan terbesar dunia itu selepas Bertrand Rhodict Lises daripada sukan terjun, Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Jhonathan Wong (menembak).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 1:38 PM