ARIANA memecahkan rekod baru kebangsaan bagi acara recurve wanita 36 anak panah. FOTO Ihsan Persatuan Memanah Red Arrows Wilayah Persekutuan
ARIANA memecahkan rekod baru kebangsaan bagi acara recurve wanita 36 anak panah. FOTO Ihsan Persatuan Memanah Red Arrows Wilayah Persekutuan
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pemanah recurve wanita negara Ariana Nur Dania Zairi mencipta sensasi apabila mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mara ke final Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, Thailand sebentar tadi.

Lebih membanggakan, atlet berusia 18 tahun secara merit menjadi wakil keempat negara mengesahkan kedudukan untuk beraksi di temasya empat tahun sekali itu.

Terdahulu, Ariana Nur Dania mencatatkan mata keseluruhan 649 mata dan menguasai tempat pertama pusingan kelayakan, sekali gus memecahkan rekod baru kebangsaan bagi acara recurve wanita 36 anak panah dari jarak 70 meter.

Dia tidak berhadapan masalah mengesahkan tempat ke Sukan Olimpik Paris 2024 dengan menewaskan pemanah Iran, Yasna Pour Mahani, dalam aksi separuh akhir untuk ke final.

Ariana Nur Dania kemudian terus mencuri tumpuan dalam aksi final, di mana menewaskan pemanah Uzbekistan, Ziyodakhon Abdusattorova, 7-3 untuk dinobatkan sebagai pemenang pingat emas.

Sebagai rekod, Ariana Nur Dania adalah atlet keempat negara layak secara merit ke temasya sukan terbesar dunia itu selepas Bertrand Rhodict Lises daripada sukan terjun, Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Jhonathan Wong (menembak).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 November 2023 @ 5:46 PM