ZVEREV mara ke final Terbuka Perancis selepas menewaskan Ruud dari Norway. -FOTO AFP
ZVEREV mara ke final Terbuka Perancis selepas menewaskan Ruud dari Norway. -FOTO AFP
AFP

Paris: Finalis Terbuka Perancis, Alexander Zverev, berkata bahawa beliau "tidak mahu mendengar soalan lain" terutama berhubung dakwaan penganiayaan domestik selepas mahkamah Jerman membatalkan kes itu semalam.

Zverev dari Jerman menewaskan Casper Ruud dalam pertarungan empat set untuk mara ke final Grand Slam keduanya beberapa jam selepas penyelesaian yang dipersetujui bersama bekas teman wanitanya yang menuduhnya menyerangnya.

"Saya dah cakap dari awal lagi. Saya memberitahu semua orang," kata Zverev yang berusia 27 tahun.

"Saya gembira ia sudah berakhir. Ya, tiada apa lagi yang boleh dikatakan. itu sahaja. Empat tahun. Saya gembira tentang itu."

Zverev mara ke final Terbuka Perancis pertamanya selepas menewaskan pilihan ketujuh, Casper Ruud dari Norway, 2-6, 6-2, 6-4, 6-2.

Dia akan berdepan pilihan ketiga, Carlos Alcaraz yang mara ke final Terbuka Perancis pertamanya selepas menewaskan pilihan kedua, Jannik Sinner 2-6, 6-3, 3-6, 6-4, 6-3.

Alcaraz, 21, menjadi pemain termuda mara ke final Grand Slam di atas tiga permukaan gelanggang berbeza.

Pemain Sepanyol itu memenangi aksi di atas gelanggang permukaan keras Terbuka Amerika Syarikat 2022 dan mengulanginya di gelanggang rumput Wimbledon pada tahun 2023.

Kali ini dia akan cuba mendapatkan kejuaraan Grand Slam pertama di atas permukaan tanah liat Roland Garros.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2024 @ 11:21 AM