ZVEREV pilih Djokovic juara Terbuka Perancis tapi tidak nafikan peluang Ruud. FOTO AFP
ZVEREV pilih Djokovic juara Terbuka Perancis tapi tidak nafikan peluang Ruud. FOTO AFP
AFP

Paris: Alexander Zverev mengakui dia 'tidak akan bertaruh' ke atas Casper Ruud untuk menewaskan Novak Djokovic pada final Terbuka Perancis tetapi memberi amaran bintang Serbia itu boleh terkesan di bawah tekanan luar biasa.

Ruud, naib juara tahun lalu kepada Rafael Nadal, mara ke final dengan selesa selepas menang 6-3, 6-4, 6-0 ke atas Zverev pada aksi separuh akhir.

Djokovic mara ke final di Paris buat kali ketujuh, dan ke-34 di Grand Slam, dengan kemenangan empat set ke atas Carlos Alcaraz yang mengalami kekejangan.

Kemenangan pada final esok akan memberikan Djokovic gelaran utama ke-23 yang memecahkan rekod dan menjadikannya satu-satunya pemain lelaki yang memenangi kesemua empat Grand Slam sekurang-kurangnya tiga kali.

"Adakah Novak pilihan utama? Ya sudah tentu. Tiada persoalan mengenainya. Dia tahu bagaimana ia dilakukan. Dia tahu bagaimana untuk melakukannya," kata Zverev selepas tewas di separuh akhir bagi tahun ketiga berturut-turut.

"Jika saya perlu bertaruh wang, mungkin saya tidak akan terlalu banyak bertaruh pada Casper. Adakah dia mempunyai peluang? Ya dia mampu lakukan. Dia bermain tenis yang menakjubkan dan saya rasa dia layak ke final."

Zverev mengingatkan bahawa pada 2021 Djokovic hanya perlu menewaskan Daniil Medvedev di final Terbuka Amerika Syarikat untuk melengkapkan kesemua kejuaraan Grand Slam dalam semusim sejak 1969.

Ketika itu Djokovic sudah menang Terbuka Australia, Terbuka Perancis dan Wimbledon namun Medvedev berjaya menang straight set dalam final di New York.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 10:50 AM