NADAL (kiri) akan berentap dengan Casper pada aksi final esok. FOTO AFP
NADAL (kiri) akan berentap dengan Casper pada aksi final esok. FOTO AFP
AFP

Paris: Rafael Nadal mara ke final Terbuka Perancis kali ke-14 apabila lawannya di separuh akhir, Alexander Zverev terpaksa menarik diri selepas mengalami kecederaan buku lali kanan di Roland Garros, hari ini.

Esok, Nadal akan beraksi di final Grand Slam ke-30 menentang Casper Ruud, pemain Norway pertama yang beraksi di pentas final dekat kejohanan utama.

Nadal mendahului 7-6 (10/8), 6-6 sebelum Zverev terpaksa menarik diri manakala Ruud menewaskan Marin Cilic 3-6, 6-4, 6-2, 6-2 pada satu lagi aksi separuh akhir.

Zverev dilihat menjerit kesakitan di depan gelanggang berkapasiti 15,000 tempat duduk itu sebelum dibawa keluar dari gelanggang dengan menggunakan kerusi roda.

"Jika anda seorang manusia, anda berasa kasihan kepada rakan seperjuangan.

"Ia sangat sukar dan sangat menyedihkan untuknya. Dia beraksi dengan cukup cemerlang di kejohanan ini.

"Saya tahu betapa dia berjuang untuk memenangi Grand Slam. Buat masa ini nasib tidak menyebelahinya.

"Saya pasti dia akan menang bukan satu, tetapi lebih daripada satu. Saya doakan yang terbaik untuknya," kata Nadal yang juga juara 13 kali Terbuka Perancis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Jun 2022 @ 9:08 AM