ZVEREV meraikan kejayaan selepas mengalahkan Djokovic. FOTO EPA
ZVEREV meraikan kejayaan selepas mengalahkan Djokovic. FOTO EPA
AFP

Turin: Alexander Zverev menumpaskan Novak Djokovic dalam aksi separuh akhir mendebarkan untuk menamatkan harapan pemain nombor satu dunia itu menyamai rekod enam kejuaraan Kejohanan Akhir ATP.

Zverev akan berdepan Daniil Medvedev yang sebelum itu menumpaskan Casper Ruud dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Pemain Jerman itu mencatat kemenangan 7-6 (7/4), 4-6, 6-3 bagi melakar kejayaan di Turin seterusnya berdepan penyandang juara, Medvedev di Turin.

"Ia perlawanan yang luar biasa, saya rasa kami sudah bertemu sebanyak lima kali tahun ini dan setiap kali turun ke gelanggang pasti akan wujud pertarungan sengit. Kami bermain dalam tempoh yang lama," kata Zverev.

Ia adalah penamat mengecewakan untuk musim yang luar biasa buat Djokovic, selepas ketinggalan satu perlawanan untuk menjadi pemain pertama memenangi kalendar Grand Slam sejak Rod Laver pada 1969 apabila dia tewas di final Terbuka Amerika Syarikat (AS) kepada Medvedev.

Juara kejuaraan utama sebanyak 20 kali itu berharap dapat menyamai Roger Federer dalam enam gelaran kejuaraan penghujung musim.

Tetapi Zverev, yang turut menewaskan pemain berusia 34 tahun itu pada separuh akhir Sukan Olimpik di Tokyo, terbukti menjadi penghalang sekali lagi buat Djokovic.

"Bagi saya tidak ada seorang pun di dunia ini yang lebih dihormati daripada Novak pada pendapat saya.

"Dari mana dia datang, apa yang dia capai, dia memang pemain terhebat sepanjang zaman dan saya rasa orang ramai terlupa itu. Semua orang harus menghargainya," kata Zverev.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 2:40 PM