CHELSEA (tengah) mempamer aksi cemerlang di Perancis pada 3 Jun lalu. FOTO Chelsea Ning Lee
CHELSEA (tengah) mempamer aksi cemerlang di Perancis pada 3 Jun lalu. FOTO Chelsea Ning Lee

Kuala Lumpur: Chelsea Ning Lee mencipta sejarah menjadi atlet wanita pertama Malaysia melengkapkan perlumbaan lasak renang ultra maraton sejauh 33 kilometer (km) di Perancis minggu lalu.

Perenang berusia 19 tahun itu, menyudahkan renangan dengan penuh meyakinkan di Le Flow Des Gabarriers pada 3 Jun lalu dengan menamatkan saingan di tempat keenam keseluruhan.

Dia juga menjadi pelumba wanita terbaik keseluruhan dengan mencatat masa tujuh jam 26 minit 48 saat (s).

Kedudukan tiga teratas diungguli perenang lelaki dengan wakil tuan rumah Baptiste Duboil muncul juara selepas merekodkan masa 6:25:10s.

Floryan Faccenda melengkapkan kemenangan 1-2 buat Perancis dengan catatan masa 6:35:03s, sementara Olivier Delfosse dari Belgium menduduki tempat ketiga (6:47:43s).

Ia adalah perlumbaan edisi kedua, Le Flow Des Gabariers dan menjadi acara maraton air terbuka tanpa henti yang paling jauh di Perancis.

Laluan sungai itu meliputi 12 kampung dari bandar Chateauneuf-Sur-Charente hingga ke Cognac, di wilayah Charente di Perancis.

"Saya sangat gembira dapat mencapai misi ini. Saya bukan sahaja menamatkan perlumbaan untuk menjadi wanita Malaysia pertama melakukannya, tetapi juga dengan catatan masa yang boleh saya banggakan," kata Chelsea.

"Saya harap pencapaian ini juga membanggakan Malaysia!

"Saya memperoleh pengalaman bernilai daripada perlumbaan ini, yang akan membantu saya membawa kerjaya renang terbuka ke tahap yang lebih tinggi.

"Cita-cita utama saya adalah untuk mewakili Malaysia di Sukan Olimpik Los Angeles 2028. Saya akan bekerja keras untuk ke sana."

Chelsea memenangi perak untuk negara dalam 10km wanita (kategori umur 18-19) semasa Kejohanan Renang Peraiaran Terbuka Asia Tenggara yang julung kali diadakan Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2023 @ 12:12 PM