PASUKAN Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan Final Regu dan Double Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024. -FOTO Hazreen Mohamad
PASUKAN Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan Final Regu dan Double Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024. -FOTO Hazreen Mohamad
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sukan sepak takraw sudah menepati kriteria untuk disenaraikan semula ke dalam sukan teras Malaysia, menurut Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Sumali Reduan.

Beliau berkata ia susulan prestasi cemerlang yang ditampilkan skuad negara di pentas Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di sini baru-baru ini selain berjaya menarik perhatian peminat sukan tanah air yang hadir ke Stadium Titiwangsa pada piala berprestij itu.

Justeru Sumali berharap Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) mempertimbangkan secepat mungkin untuk menyenaraikan sukan berkenaan ke dalam sukan teras demi memastikan pembangunan atlet sepak takraw kebangsaan.

"Saya mohon kepada MSN, KBS sudah tiba masanya untuk sepak takraw dimasukkan kembali dalam sukan teras seperti sebelum-sebelum ini, apatah lagi prestasi membanggakan telah memberi nilai tambah untuk masuk semula ke sukan teras, selain dengan kecemerlangan di Piala Dunia.

"Ia juga mempunyai penonton yang ramai, adalah sukan tradisi dan warisan kita, supaya banyak pembangunan dan program sepak takraw dapat dirancang dengan teratur dan sistematik, dapat sokongan dari kerajaan," katanya pada Program Jendela Fikir Bernama Radio hari ini.

Pada 22 Mei lalu, skuad sepak takraw kebangsaan mencipta sejarah menamatkan penguasaan Thailand selepas menewaskan mereka pada pertandingan akhir acara regu dan double masing-masing dengan keputusan 2-0.

Penantian 33 tahun skuad sepak takraw negara untuk muncul juara acara regu berpasukan pula terus berpanjangan selepas tewas kepada Thailand 1-2 dalam aksi final pada 26 Mei.

Sementara itu, Sumali berkata sudah tiba masanya suka sepak takraw mempunyai stadium khas terutamanya untuk menganjur kejohanan-kejohanan besar pada masa akan datang.

"Sudah tiba masanya kerajaan mempertimbangkan untuk ada stadium sepak takraw negara yang menjadi lambang sukan kita. Ia sukan tradisi peminat ramai, jadi kena ada stadium, walaupun tak besar sangat kalau boleh memuatkan 4,000-5,000 penonton sudah memadai," katanya.

Beliau pada masa sama turut berpandangan insentif khas berjumlah RM170,000 daripada MSN adalah permulaan yang positif buat skuad negara selepas kejayaan diraih bulan lepas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2024 @ 1:46 PM