CHELSEA Ning Lee. -FOTO Penganjur
CHELSEA Ning Lee. -FOTO Penganjur
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Aslan Adnan dan Chelsea Ning Lee bakal menjadi sandaran podium tuan rumah Malaysia bagi Kejohanan Renang Perairan Terbuka Asia Tenggara (SEAOWSC) yang akan berlangsung di Tasik Putrajaya dari 2 hingga 4 Februari depan.

Aslan, 15, dan Chelsea, 18, adalah antara 21 perenang muda yang dipertaruhkan oleh Persatuan Renang Malaysia (MAS) untuk menggalas cabaran negara dalam kejohanan yang diadakan buat julung kalinya itu.

Sebanyak enam kategori membabitkan kumpulan usia berasingan akan dipertandingkan di SEAOWSC membabitkan jarak 5 kilometer (km) dan maraton 10km untuk lelaki dan wanita serta renang berganti-ganti berpasukan campuran 4x1.5km.

Kumpulan usia dibahagikan kepada empat kesemuanya iaitu 14-15, 16-17, 18-19 dan Terbuka (20 dan ke atas).

Kecuali saingan Terbuka, Malaysia akan diwakili dalam kesemua tiga kumpulan usia yang yang lain dengan tumpuan pastinya terarah kepada Aslan dan Chelsea, yang dijangka mencabar untuk pingat dalam saingan lelaki 14-15 dan wanita 18-19 masing-masing.

Mereka berdua memiliki pengalaman kompetitif yang luas termasuk pernah bertanding di Kejohanan Remaja Dunia di Seychelles pada September tahun lalu.

Chelsea yang bercita-cita untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, berazam untuk memanfaatkan peluang bersaing di SEAOWSC dan mengukur sejauh manakah kebolehannya berbanding dengan atlet-atlet yang sebaya dengannya di rantau ini.

ASLAN muncul juara Oceanmankids Krabi 2019. -FOTO Penganjur
ASLAN muncul juara Oceanmankids Krabi 2019. -FOTO Penganjur

"SEAOWSC akan menjadi kejohanan rasmi peringkat Asia Tenggara yang pertama disertai saya dan rakan-rakan lain, justeru peluang keemasan ini pasti tidak akan kami sia-siakan," kata Chelsea, yang juga naib juara kategori Terbuka Oceanman Indonesia 2022 di Bali.

"Selain Sukan SEA, inilah peluang terbaik untuk kami cuba meraih gelaran perenang terbaik di Asia Tenggara.

"Beraksi di laman sendiri, saya akan mencuba sedaya upaya untuk mengharumkan nama negara dengan sekurang-kurangnya meraih podium dalam kategori saya."

Aslan juga melahirkan kesungguhan yang tinggi untuk mengharumkan nama negara.

"Kejohanan ini menghimpunkan pesaing-pesaing terbaik di rantau ini, jadi ini pentas terbaik untuk saya buktikan kemampuan diri saya. Mudah-mudahan saya akan dapat menempatkan diri di atas podium nanti," kata Aslan yang juga juara Oceanmankids Krabi 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 1:50 PM