AKSI Khairulnizam hari ini. FOTO World Sailing
AKSI Khairulnizam hari ini. FOTO World Sailing
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Aksi di Enoshima Yacht Harbour (EYH) menyaksikan dua atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif melengkapkan saingan masing-masing di kedudukan ke-28 dan ke-24 keseluruhan.

Khairulnizam yang beraksi dalam dua perlumbaan hari ini, menamatkan perlumbaan keempat di tempat ke-29 sebelum memperbaiki prestasi pada perlumbaan kelima dengan berada di kedudukan ke-18 daripada 35 pelayar di Sukan Olimpik Tokyo.

Perlumbaan keempat dalam acara One Person Dinghy-Laser Lelaki itu diungguli pelayar dari Cyprus, Pavlos Kontides manakala Hermann Tomasgaard (Norway) ditempat kedua diikuti pelayar Brazil, Robert Scheidt berada di tempat ketiga.

Berdasarkan jadual dikeluarkan, Khairulnizam yang juga pemenang pingat perak Sukan Asia 2014 dijadual mengharungi perlumbaan seterusnya pada Khamis ini.

Dalam pada itu, Nur Shazrin yang membuat penampilan kedua di Olimpik, menamatkan perlumbaan kelima di tempat ke-30 sebelum mengakhiri saingan hari ini di tempat ke-34 dalam perlumbaan keenam.

Dengan berbaki empat perlumbaan, Nur Shazrin kini berada di tangga ke-24 daripada 44 pelayar dalam carta keseluruhan acara One Person Dinghy-Laser Radial Wanita.

Pelayar Denmark, Anne-Marie Rindom mengungguli carta keseluruhan selepas enam perlumbaan manakala Josefin Olsson (Sweden) berada di tangga kedua, diikuti Marit Bouwmeester dari Belanda berada di tangga ketiga.

Khairulnizam dan Syazrin tidak akan turun beraksi esok selepas kedua-dua acara berkenaan diberikan rehat satu hari.

Namun esok dua lagi atlet pelayaran negara, Juni Karimah Noor Jamali-Nuraisyah Jamil akan turun beraksi dalam acara 470 wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Julai 2021 @ 3:16 PM