Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd, Lyondon Alfred Felix (kiri) menyerahkan goodies beg pada pengguna jalan raya pada program pelancaran Operasi Selamat 18 Aidilfitri 2022 Daerah Manjung di Plaza Tol Sitiawan Utara WCE, Sitiawan dekat Manjung. FOTO IHSAN PEMBACA
Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Bhd, Lyondon Alfred Felix (kiri) menyerahkan goodies beg pada pengguna jalan raya pada program pelancaran Operasi Selamat 18 Aidilfitri 2022 Daerah Manjung di Plaza Tol Sitiawan Utara WCE, Sitiawan dekat Manjung. FOTO IHSAN PEMBACA
Noor Hidayah Tanzizi

Manjung: Lebih 60,000 kenderaan dijangka akan menggunakan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri dalam sehari.

Ketua Pegawai Eksekutif WCE Holdings Berhad Lyondon Alfred Felix berkata, pihaknya akan meningkatkan sumber khususnya kakitangan untuk bertugas 24 jam sepanjang tempoh berkenaan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna WCE.

Menurutnya, pengguna jalan raya akan menikmati diskaun 30 peratus bayaran tol pada 30 April serta 1, 7 dan 8 Mei di semua tiga laluan.

Katanya, ia membabitan Seksyen 8 (Hutan Melintang-Teluk Intan), Seksyen 9 (Lekir-Sitiawan) dan Seksyen 10 (Changkat Chermin-Beruas) seperti pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, baru-baru ini.

"Kita sedia maklum sudah dua tahun tidak boleh balik kampung, jadi kami sudah bersedia untuk menyambut kehadiran kenderaan yang agak banyak melalui WCE," katanya selepas majlis pelancaran Operasi Selamat 18 Aidilfitri 2022 Daerah Manjung di Plaza Tol Sitiawan Utara WCE di sini, hari ini.

Program itu disempurnakan Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Boo Khim.

Lyondon berkata, pihaknya berharap WCE benar-benar menjadi laluan alternatif apabila tiga lagi seksyen dijangka siap pada tahun hadapan terutama Seksyen 11 dari Beruas ke Changkat Jering.

Menurutnya, Seksyen 11 menjadi tumpuan utama kerana ia bersambung ke Lebuhraya Utara Selatan sekali gus menjadi alternatif kepada orang ramai terutama dari Lembah Klang menuju utara Semenanjung.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 2:41 PM