JAJARAN Lebuhraya Pantai Barat. FOTO WCE/ arkib NSTP
JAJARAN Lebuhraya Pantai Barat. FOTO WCE/ arkib NSTP
Ahmad Suhael Adnan


KERAJAAN tidak berhasrat untuk mengkaji semula perjanjian projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi memendekkan tempoh konsesi yang ketika ini ditetapkan selama 50 tahun.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Annuar Mohd Tahir, berkata memendekkan tempoh konsesi akan menyebabkan pengguna terpaksa membayar tol lebih tinggi.

Beliau berkata tempoh 50 tahun bermula dari tarikh perjanjian konsesi pada 2 Januari 2013 itu adalah panjang, namun ia munasabah.

Katanya, tempoh konsesi WCE itu ditetapkan selepas mengambil kira faktor kadar tol yang perlu dibayar pengguna.

"Setakat ini, keputusan menetapkan tempoh konsesi WCE selama 50 tahun adalah suatu yang munasabah walaupun panjang kerana mengambil ambil kira kadar tol yang terpaksa dibayar rakyat.

"Kita boleh percepatkan, tapi nanti adakah rakyat sedia menerima kadar tol yang tinggi, sebab itu ia dipanjangkan (konsesi). Saya percaya tempoh panjang lebih munasabah berbanding kadar tol yang terlalu tinggi.

"Penanda aras yang diguna bagi menentukan kadar tol WCR adalah berdasarkan kadar yang diberikan kepada Lebuhraya PLUS bagi tol tertutup, iaitu RM13.96 sen untuk satu kilometer, yang dianggap kadar tol berpatutan," katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Muslimin Yahaya (PH BERSATU-Sungai Besar), sama ada kerajaan akan mengkaji semula tempoh konsesi 50 tahun yang dianugerahkan kepada syarikat konsesi projek WCE, yang disifatkan sebagai tidak munasabah.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (BEBAS-Bagan Serai) mengenai perbandingan harga tol WCE dengan Lebuhraya PLUS, Mohd Annuar berkata, kerajaan akan memastikan kadar tol itu tidak akan dinaikkan.

Katanya, kerajaan akan berunding dengan pemegang konsesi apabila tiba masa untuk meningkatkan kadar tol itu, dan sedia untuk memanjangkan tempoh konsesi bagi memastikan kadarnya tidak dinaikkan.

"Kita akan pertahankan seboleh mungkin supaya kadar tolnya tidak naik, dan jika sampai masa nanti, kita juga akan kaji keberadaan tol itu sendiri," katanya.

Projek WCE bernilai RM6.542 bilion dijangkasiap pada 2022, iaitu dua tahun lewat berbanding jadual asal pada April 2020, dan akan mula dibuka secara berperingkat bermula tahun depan.

WCE sepanjang 313 kilometer dari Banting, Selangor ke Changkat Jering, Perak, bakal memiliki 20 plaza tol, iaitu enam di laluan utama dan 14 di persimpangan bertingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 1:42 PM