PIALA yang menjadi rebutan apabila kejohanan SSR 2024 membuka tirai pada Jun ini.
PIALA yang menjadi rebutan apabila kejohanan SSR 2024 membuka tirai pada Jun ini.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pasukan ragbi negara tidak akan ketandusan bakat muda untuk tempoh sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang jika penganjuran kejohanan atau program peringkat akar umbi terus diperkasakan.

Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin berkata, penganjuran saingan Super Schools Rugby (SSR) 2024 yang akan bermula Jun ini antara platform terbaik melahirkan pemain muda untuk pasukan negara.

Beliau berkata, Enervive Sports selaku penganjur SSR 2024 komited untuk meneruskan kejohanan terbabit dengan memperkenalkan kategori baharu dengan penganjuran kali ini membabitkan 20 pasukan dari seluruh negara.

"Kategori berkenaan adalah membabitkan Super Schools Rugby Academy Division menampilkan tujuh sekolah yang memiliki kehebatan dan kejayaan dalam sukan itu.

"Kejohanan ini penting dalam landskap pembangunan ragbi tempatan kerana ia kekal sebagai satu-satunya kejohanan ragbi 15 sebelah peringkat kebangsaan dianjurkan luar kalendar Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

"Selain itu, kami berharap penambahan divisyen baharu bakal terus meningkatkan lagi mutu penganjuran kejohanan di samping melahirkan lebih banyak bakat muda untuk diserapkan ke pasukan senior kelak," katanya dalam sidang media selepas majlis memperkenalkan SSR 2024, semalam.

Kejohanan SSR 2024 adalah edisi yang kesembilan dengan turut disertai juara bertahan, Victoria Institution (VI); bekas juara, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mei 2024 @ 7:19 PM