SKUAD MCKK ada ramuan atasi SEMASHUR pada final Sabtu ini.
SKUAD MCKK ada ramuan atasi SEMASHUR pada final Sabtu ini.
Meor Riduwan Meor Ahmad

FINAL Kejohanan Super Schools Rugby Fifteens di Stadium Proton City, Tanjung Malim, Perak pada sabtu ini ibarat ulangan tahun lalu apabila menemukan penyandang juara, Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dengan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR).

Jika tahun lalu, MCKK menewaskan SEMASHUR, 25-10 untuk merangkul Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports, perlawanan akhir kali ini dijangka sengit dengan rekod gah lawan menjuarai beberapa kejohanan ragbi 10 dan tujuh sebelah.

Bagi jurulatih MCKK, Mohd Romli Saad yakin anak buahnya mampu mempertahankan kejuaraan di sebalik reputasi hebat SEMASHUR.

"Bagi saya tiada masalah untuk menang, jika pemain ikut perancangan. Sebelum ini saya ingatkan lawan banyak menang kejohanan tujuh sebelah dan 10 sebelah, jadi untuk 15 sebelah ini, permainan mereka berbeza.

"Ini yang perlu diambil kesempatan, Insya-Allah kami akan buat sehabis baik," katanya dihubungi hari ini. MCKK mara ke final selepas menumpaskan VI, 15-3 di separuh akhir kedua.

Turut bahagian ialah Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Sekolah Dato’ Abd Razak (SDAR), Sekolah Sultan Alam Shah (SAS), Sekolah Menengah Sains Selangor dan Victoria Institution (VI).

Mohd Romli berkata, kelebihan SEMASHUR kerana memiliki ramai pemain individu berbakat berbanding pasukannya fokus kepada permainan berkumpulan.

Katanya, ketika ini anak buahnya diberi rehat dua hari dan hanya akan mula berlatih Rabu ini selepas mengharungi perlawanan hampir setiap minggu sejak kejohanan Super Schools Rugby Fifteens bermula. "Ini menyebabkan pemain sukar untuk pulih sepenuhnya, malah ada beberapa pemain utama cedera biarpun saya buat giliran.

"Apapun, untuk final kami bertekad buat yang terbaik untuk pertahankan kejuaraan tahun lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2019 @ 1:22 PM