SHAHMIL Bahari bergambar bersama Piala CSR yang akan menjadi rebutan pasukan. -FOTO Suhaila Khairie
SHAHMIL Bahari bergambar bersama Piala CSR yang akan menjadi rebutan pasukan. -FOTO Suhaila Khairie
Suhaila Khairie


Kuala Lumpur: Medan pertempuran ragbi korporat kembali buat musim kedua menerusi Kejohanan Ragbi Super Korporat (CSR) menyaksikan lapan buah pasukan berentap untuk menempah tiket ke CSR Grand Finals yang bakal berlangsung pada 2 Mac nanti.

Menurut pengarah Kejohanan CSR, Shahmil Bahari berkata pertambahan pasukan bertanding daripada empat kepada lapan pasukan tahun ini dilihat bakal memberikan impak berbeza berbanding edisi sulung sebelum ini.

"Kita bakal menyaksikan bukan sahaja pertambahan jumlah pasukan untuk edisi ini, malah peningkatan kualiti permainan menerusi barisan pemain yang bakal beraksi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports yang juga penganjur kejohanan, Shahrizin Shahrudin berkata pembabitan ini membuktikan dunia korporat adalah penting dalam memastikan industri sukan yang mampan.

"Kejohanan ini adalah sebuah model terbaik pembabitan syarikat korporat dan badan kerajaan dalam industri sukan tempatan.

"Kami berharap inisiatif ini bakal terus menyemarakkan lagi arena ragbi dan sukan di Malaysia secara amnya," katanya.

Pada masa sama, majlis undian yang diadakan di Subang menyaksikan juara bertahan Bank Muamalat Bullets ditempatkan dalam Kumpulan A bersama PPTD Patriots, TNB Rugby dan RMAF Blackhawks.

Kumpulan B pula dihuni MPK Royal Town Warriors, MBSJ Knights dan Pride Greens yang mewakili Jabatan Penjara Malaysia serta turut dilengkapkan pasukan dari selatan tanah air, MBJB Red Panthera.

Semua empat perlawanan yang berlangsung secara mingguan akan diadakan di Padang Ragbi Universiti Teknologi Mara (UiTM) bermula 20 Januari ini.

Untuk rekod, Kejohanan CSR sebelum ini diperkenalkan sebagai Kejohanan Ragbi Perdana Korporat (CPRC) pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 1:05 PM