NUR Aisyah  pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama beraksi di pentas Olimpik.
NUR Aisyah pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama beraksi di pentas Olimpik.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir bakal berkampung di Belgium mulai 25 Mei ini untuk mengambil bahagian dalam hampir 20 kejohanan sebagai aksi pemanas badan menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Perkara itu dikongsikan Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill, yang turut memaklumkan atlet berusia 27 tahun itu akan terlepas aksi di Kejohanan Berbasikal Jalan Raya di Almaty, Kazakhstan pada 5 hingga 12 Jun ini.

"Saya berbincang dengan (jurulatih berbasikal lebuh raya wanita) Amir (Mustafa Rusli). Bermula 25 Mei ini, Nur Aisyah akan ke Belgium dan berada di sana hingga beliau mengambil bahagian di Olimpik.

"Semasa di sana beliau akan menyertai lebih kurang 20 kejohanan, iaitu antara Belgium dengan Belanda. Jadi, saya rasa jadual beliau penuh," katanya.

Ditanya sekiranya terdapat pelumba lain yang akan mengiringi Nur Aisyah di luar negara, Amarjit berkata badan induk itu sedang berusaha membawa pelumba berbasikal lebuh raya wanita simpanan sebagai persiapan awal sekiranya berlaku sebarang kejadian di luar kawalan.

Nur Aisyah menjadi pelumba berbasikal lebuh raya wanita pertama beraksi di pentas Olimpik, selain tiga atlet berbasikal trek iaitu Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri yang turut layak ke temasya sukan terbesar dunia itu yang dijadual berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2024 @ 9:33 PM