NUR Aisyah bakal beraksi di Olimpik Paris buat kali pertama. FOTO NUR AISYAH MOHD ZUBIR
NUR Aisyah bakal beraksi di Olimpik Paris buat kali pertama. FOTO NUR AISYAH MOHD ZUBIR
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Bagi memastikan pelumba berbasikal lebuhraya wanita negara, Nur Aisyah Mohd Zubir dapat tampil dengan prestasi terbaik di temasya Olimpik Paris 2024 nanti, jurulatihnya, Amir Mustafa Rusli akan merangka strategi serta latihan terbaik buat pelumba negara itu.

Jelas Amir, dengan pengalaman pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012, beliau melihat Aisyah memerlukan lebih banyak pendedahan perlumbaan di peringkat tertinggi kerana ia perlu bersaing dengan pelumba terbaik seluruh dunia.

"Mengikut pengalaman saya, tahap persaingan di Olimpik sangat sukar kerana pelumba World Tour turut akan beraksi.

"Bagi mempersiapkan Aisyah, kita perlu meningkatkan jumlah perlumbaan yang perlu disertainya.

"Saya sudah berbincang dengan John Beasley (ketua jurulatih berbasikal negara) dan kami sudah menyusun program untuk Aisyah sebagai persiapannya ke Sukan Olimpik," kata Amir.

Tambahnya, pelumba dari Terengganu itu akan menyertai sekurang-kurangnya tiga kejohanan Jelajah Asia UCI yang lebih kompetitif bermula Februari tahun hadapan bermula Jelajah Biwase (Vietnam), Jelajah Thailand dan satu lagi mungkin perlumbaan di China.

"Pada awal Julai kami akan menghantar dia menyertai satu perlumbaan di Eropah. Ini penting untuk dia menyertai perlumbaan satu hari di Eropah itu kerana ia menyamai perlumbaan di Sukan Olimpik," katanya.

Terdahulu, Malaysia layak secara merit menerusi slot benua Asia selepas menghabiskan perlumbaan di Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di tempat kedua teratas di kalangan pelumba negara yang belum layak ke Olimpik.

Nur Aisyah mencipta sejarah selepas menjadi pelumba pertama wanita Malaysia yang akan beraksi di Sukan Olimpik.

Kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya negara mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki iaitu Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2023 @ 4:34 PM