JURULATIH, Amir Mustapha Rusli (kanan) berkata sesuatu tentang basikal digunakan Nur Aisyah kepada Hamidin Mohd Amin (tengah) dalam persiapan ke Olimpik, di Nilai hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
JURULATIH, Amir Mustapha Rusli (kanan) berkata sesuatu tentang basikal digunakan Nur Aisyah kepada Hamidin Mohd Amin (tengah) dalam persiapan ke Olimpik, di Nilai hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Nilai: Pelumba berbasikal lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohd Zubir merancang untuk berkampung di Belgium mulai Mei hadapan, sebagai persiapan terakhir menjelang cabaran di temasya Sukan Olimpik Paris 2024, yang bermula Julai hadapan.

Pelumba berusia 26 tahun itu menegaskan, walaupun persiapan latihan ketika ini tampak lancar, namun usaha meningkatkan lagi tahap prestasi memerlukan perancangan rapi dan strategi yang terbaik.

"Mengikut perancangan pada Mei nanti kita akan menjalani latihan yang lebih intensif dan tempoh lebih lama di Belgium sebagai persiapan terakhir sebelum ke Olimpik.

"Sebelum itu, saya akan menyertai beberapa kejohanan antaranya di Vietnam dan kemudian ke Thailand untuk menyertai latihan sepasukan, kemudian balik ke Malaysia sekejap sebelum meneruskan persiapan latihan di Belgium pada Mei nanti.

"Program di Belgium itu untuk dapatkan rentak terbaik dan suasana perlumbaan sebenar kerana di situ turut membabitkan beberapa pelumba dunia yang lain," kata pelumba berasal dari Terengganu itu.

Dia bercakap kepada media selepas sesi lawatan dan perbincangan dengan Ketua Kontinjen Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin di Velodrom Nasional di sini, hari ini.

Nur Aisyah akui trek pelumbaan di Paris agak mencabar selain perlu bersaing dengan pelumba bertaraf dunia, justeru dia perlu membuat persiapan yang lebih rapi.

Menurutnya, walaupun tidak boleh elak daripada tekanan yang mula dirasainya kini, namun dia berazam untuk melakukan persembahan terbaik kerana temasya sukan berkenaan adalah penampilan sulung selain antara temasya sukan terbesar di dunia yang pernah disertai sepanjang kariernya.

"Peluang ini diibarat sekali seumur hidup, saya akan buat yang terbaik untuk negara dan menghabiskan perlumbaan dengan cemerlang," katanya yang berharap fasa persiapannya berjalan seperti dirancang.

Mengenai hasil pertemuan dan perbincangan dengan Hamidin, pelumba terbabit berharap beberapa peralatan atau aksesori basikal diperlukan dapat dipenuhi dalam membantunya membuat persiapan terbaik sebelum ke Paris.

"Basikal yang saya gunakan ini pun sudah dua tahun, jadi berharap beberapa keperluan atau aksesori penting dapat dibantu sebelum latihan di Belgium Mei nanti," katanya.

Terdahulu, Nur Aisyah melakar sejarah tersendiri sebagai pelumba lebuh raya wanita pertama terpilih beraksi di temasya Olimpik Paris 2024 berasaskan prestasinya yang konsisten di pentas kejohanan antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 3:03 PM