NUR Aisyah bakal beraksi di Olimpik Paris 2024. FOTO NUR AISYAH MOHD ZUBIR
NUR Aisyah bakal beraksi di Olimpik Paris 2024. FOTO NUR AISYAH MOHD ZUBIR
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Pelumba lebuh raya wanita negara, Nur Aisyah Mohd Zubir menyifatkan pemilihannya ke temasya Olimpik Paris, seperti bulan jatuh ke riba.

Ia satu berita gembira yang tidak dijangka kerana sememangnya menjadi impian setiap atlet untuk beraksi di temasya terbesar dunia itu.

Malah ia akan memberi peluang kepadanya untuk bersaing dengan pelumba bertaraf dunia lain.

"Insya-Allah saya tidak akan sia-siakan peluang yang diberikan ini. Saya akan cuba berikan yang terbaik selagi saya mampu.

"Seperti yang kita tahu, Sukan Olimpik menampilkan atlet terbaik dunia. Ini satu pengalaman berharga buat saya apabila dapat bersaing dengan pelumba terbaik dunia," kata Nur Aisyah.

Bagaimanapun Aisyah yang pernah meraih tujuh emas di Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018 selain meraih dua perak satu gangsa di Sukan Sea Hanoi dan dua gangsa di Sukan Sea Kemboja itu mengakui bahawa laluan perlumbaan di Paris itu tidak mudah.

"Melihat kepada laluan perlumbaan di Paris itu, memang benar ia tidak mudah. Banyak pendakian yang perlu didaki.

"Tapi seperti yang saya katakan, saya akan beri yang terbaik yang mampu saya lakukan demi membalas kepercayaan yang diberikan kepada saya," katanya.

Saingan lebuh raya di Paris akan bermula pada 4 Ogos 2024 membabitkan 90 pelumba yang akan menghabiskan jarak sejauh 158 kilometer membabitkan sembilan pendakian.

Semalam, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memutuskan secara sebulat suara untuk memilih Nur Aisyah bagi mengisi slot beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Lebuhraya PKBM, Azman Abu Samah, berkata pemilihan Nur Aiyshah dibuat berdasarkan prestasi konsisten selain berada di kedudukan ranking teratas pelumba wanita negara.

Kali terakhir skuad berbasikal lebuh raya negara mempunyai wakil di pentas Olimpik adalah pada edisi 2012 di London menerusi dua pelumba lelaki iaitu Muhammad Adiq Hussainie Othman dan Amir Mustafa Rusli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2023 @ 6:24 PM