Gambar Hiasan. FOTO AGENSI
Gambar Hiasan. FOTO AGENSI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Dari Utara turun ke wilayah Tengah, sebelum 'melompat' ke Borneo dan kini berjangkit pula di Pantai Timur.

Itulah situasi terkini membelenggu beberapa pasukan Liga Super yang difahamkan sedang bergelut dengan isu tunggakan gaji biarpun saingan liga domestik itu hanya memasuki usia sebulan sebaik sepak mula musim 2024-2025 berlangsung bulan lalu.

Menurut sumber, sebuah pasukan dari Pantai Timur masih belum melunaskan tunggakan gaji yang sangkut hampir dua bulan.

Malah beberapa pemain kelab terbabit juga sebelum ini ada memuatnaik sindiran berhubung tunggakan gaji namun ia kemudiannya dipadamkan bagi mengelak dikenakan tindakan dari pihak pengurusan.

Antara luahan yang sempat diambil berbunyi,"'tidak ada manusia yang sedang baik-baik saja di dunia ini, semua sedang berjuang dengan ujian masing-masing," katanya.

Malah, pemain itu turut membuat kapsyen "kita tunggu esok macam mana ada tidak", yang nyata merujuk kepada pihak pengurusan.

Begitupun tidak dapat dipastikan adakah masalah itu sudah diselesaikan atau belum, kerana masing-masing enggan memberi kenyataan bagi menghormati pihak pengurusan pasukan.

Kes yang berlaku di Pantai Timur itu adalah keempat selepas Perak FC mengesahkan berdepan masalah kelewatan pembayaran gaji selain Sabah FC dan sebuah pasukan Lembah Klang yang turut terpalit dengan isu itu.

Dengan perjalanan Liga Malaysia yang masih panjang, dijangka isu ini akan terus menjadi topik perbualan hangat sepanjang musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 7:15 PM