ANIQ berpeluang cerah layak ke Paris 2024 bagi kategori 61kg. FOTO ARKIB NSTP
ANIQ berpeluang cerah layak ke Paris 2024 bagi kategori 61kg. FOTO ARKIB NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat meminta rakyat Malaysia mendoakan kejayaan atlet kita yang akan bersaing di Kejohanan Piala Dunia IWF di Phuket, Thailand bermula 2 hingga 11 April ini.

Beliau berkata, kejohanan disertai tiga atlet angkat berat Malaysia itu amat penting sebagai medan terakhir menawarkan kutipan mata dan memburu 10 kedudukan terbaik ke Sukan Olimpik Paris 2024.

"Pantang berundur, kuatkan tekad, teguhkan hati, perteguhkan semangat. Berjuang hingga capai hasrat yang diinginkan Insya-Allah. Kepada rakyat Malaysia, doakan Team Angkat Berat Malaysia catatkan kejayaan, Ramadan bukan penghalang meraih kejayaan InsyaAllah," katanya menerusi Facebook rasminya.

Tiga atlet utama negara iaitu Mohamad Aniq Kasdan, Muhammad Erry Hidayat dan Muhamad Aznil Bidin akan bertanding dengan tumpuan sudah pasti lebih terarah kepada Aniq untuk memastikan kedudukannya sekurang-kurang kekal dalam senarai 10 terbaik dunia.

Aniq dan Aznil akan bertanding dalam kategori 61 kilogram (kg) manakala Muhammad Erry Hidayat dalam kategori 73kg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 9:50 PM