AZEEM optimis layak ke Paris.
AZEEM optimis layak ke Paris.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelari pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi optimis mampu meletakkannya dalam senarai pelari di temasya Olimpik Paris yang akan bermula 26 Julai kelak.

Azeem berkata, walaupun dia terlepas beberapa kejohanan bagi menghormati Ramadan namun situasi terbabit tidak menganggu perancangannya untuk ke temasya itu.

Azeem berkata, ketika ini dia hanya akan menyertai satu kejohanan saja iaitu membabitkan Jemputan Yellow ¬Jacket di Georgia Tech, Atlanta yang berlangsung hari ini.

Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu akan kembali menggegar trek di bumi Amerika Syarikat (AS) selepas Hari Raya Aidilfitri pada 10 April depan.

"Perancangan dengan jurulatih Ken (Harnden) sekarang adalah sertai satu kejohanan pada awal Ramadan kerana kondisi badan saya masih segar.

"Selepas itu saya akan berehat kerana mahu menghormati sepenuhnya Ramadan. Jangan salah faham, saya cuma berehat daripada kejohanan, tetapi tetap berlatih di waktu pagi.

"Saya sudah biasa, lagipun ini tahun ketiga saya tidak dapat berpuasa di Malaysia, apatah lagi nak beraya dengan keluarga. Ini pengorbanan demi menggapai impian saya ke Olimpik," katanya.

Walaupun terlepas empat saingan, tetapi pemenang pingat gangsa 100m Sukan Asia Hangzhou 2022 itu masih mempunyai tujuh saingan untuk disertai termasuk Kejohanan Olahraga Kebangsaan 2024 di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Jun ini.

"Saya akan balik Malaysia untuk sertai kejohanan kebangsaan. Saya perlu menang kerana dapat banyak mata sebagai juara kebangsaan untuk membantu kedudukan ranking dunia.

"Katakan saya masih belum layak ke Olimpik Paris, kejohanan itu akan menjadi peluang terakhir saya. Seandainya layak, saya akan pulang ke AS dan seterusnya ke Jerman untuk kem latihan sebelum terus ke Paris nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2024 @ 4:28 PM