NADAL akui belum bersedia pada tahap tertinggi.
NADAL akui belum bersedia pada tahap tertinggi.
Reuters

Indian Wells, California: Rafa Nadal menarik diri daripada kejohanan Indian Wells menjelang aksi pusingan pertamanya dengan menyatakan dia masih belum sedia beraksi kejohanan tertinggi.

Jaguh Sepanyol berusia 37 tahun itu kembali beraksi di Brisbane pada Januari selepas hampir setahun tersisih akibat kecederaan pangkal paha tetapi terpaksa melupakan Terbuka Australia susulan satu lagi masalah otot.

Dia tewas di tangan Carlos Alcaraz dalam perlawanan pertunjukan di Las Vegas Ahad lalu dan memasang impian untuk meraih gelaran keempat di padang pasir California.

"Dengan rasa kecewa saya terpaksa menarik diri daripada kejohanan hebat ini," kata juara Grand Slam 22 kali itu dalam satu kenyataan awal pagi tadi.

"Semua orang tahu betapa saya sukakan tempat ini dan betapa saya sangat teruja bermain di Indian Wells.

"Ia juga antara punca kenapa saya datang awal ke sini untuk berlatih dan cuba bersedia untuk kejohanan ini.

"Saya bekerja keras dan anda semua tahu saya menguji diri saya Ahad lalu tetapi akhirnya saya dapati belum benar-benar bersedia untuk beraksi pada tahap tertinggi.

"Ini bukan keputusan mudah, ia sukar sebenarnya tetapi saya tak boleh membohongi diri saya dan ribuan peminat. Saya pasti rindukan anda dan saya yakin kejohanan ini akan berlangsung dengan jayanya."

Tempat Nadal akan digantikan Sumit Nagal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2024 @ 10:52 AM