AKSI Federer membalas hantaran Edmund  di Indian Wells, California. - FOTO AFP
AKSI Federer membalas hantaran Edmund di Indian Wells, California. - FOTO AFP
Reuters

PERTEMBUNGAN Roger Federer dan Rafa Nadal pada peringkat separuh akhir bagaikan tidak dapat dielak apabila kedua-dua bintang tenis itu menang aksi pusingan keempat Terbuka BNP Paribas di California, awal pagi tadi.

Federer hanya memerlukan satu jam menewaskan pemain Britain, Kyle Edmund 6-1, 6-4 dalam pertembungan pertama mereka dan mara ke suku akhir dalam cuaca panas di Indian Wells.

Menanti juara Grand Slam 20 kali itu seorang lagi pemain kurang ternama dari Poland, Hubert Hurkacz yang menewaskan pemain remaja Kanada, Denis Shapovalov 7-6(3), 2-6, 6-3 sekali gus pertemuan pertama dalam kariernya menentang jaguh Switzerland itu.

Nadal, juara Grand Slam 17 kali menamatkan kemaraan pemain kelayakan dari Serbia, Filip Krajinovic selepas menyempurnakan tiga daripada empat mata ‘break’ untuk kemenangan 6-3, 6-4.

Federer dan Nadal juga belum kehilangan sebarang set dalam tiga perlawanan mereka sebelum ini di Indian Wells, kejohanan yang dimenangi Federer sebanyak lima kali dan Nadal tiga kali.

Dalam satu lagi aksi pusingan keempat, pemain yang mempunyai pukulan kuat dari Kanada, Milos Raonic menewaskan pemain Jerman, Jan-Lennard Struff 6-4, 6-3.

Pilihan ke-13 kejohanan itu akan menentang pemenang di antara pemain Perancis, Gael Monfils dan pemain Jerman, Philipp Kohlschreiber pada aksi sukur akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2019 @ 7:47 AM