RAFAEL Nadal (tengah) meninggalkan sidang media selepas umum tarik diri pada Kejohanan Terbuka Mexico.  - FOTO EPA-EFE
RAFAEL Nadal (tengah) meninggalkan sidang media selepas umum tarik diri pada Kejohanan Terbuka Mexico. - FOTO EPA-EFE
AFP

PEMAIN nombor dua dunia, Rafael Nadal mengumumkan terpaksa menarik diri dari mengambil bahagian dalam kejohanan Terbuka Mexico di sini selepas kecederaan bahagian pinggulnya kembali menghantuinya.

“Harapan dan cita-cita saya mahu bertanding di kejohanan ini. Malangnya, selepas sesi latihan terakhir semalam, saya rasa kaki saya sakit semula,” kata pemain Sepanyol berusia 31 tahun itu setengah jam sebelum dijadual memulakan aksi pertamanya.

Sementara itu di Los Angeles, suami Serena Williams, Alexis Ohanian mendirikan empat papan tanda gergasi sebagai tanda meraikan kepulangan semula isterinya dalam kancah tenis dunia menjelang  aksi Kejohanan Indian Wells di California minggu depan.

Ohanian, yang meminjam taktik daripada filem “Three Billboards, Outside Ebbing Missouri”, menggembirakan Serena selepas papan iklan gergasi itu muncul di laluan menuju ke gurun menuju ke Indian Wells.

Tiga daripadanya menampilkan bintang tenis Amerika Syarikat itu bersama anak perempuannya dengan paparan mesej: "Greatest Momma Of All Time".

Papan iklan keempat terpapar ayat: "Serena Williams - G.M.O.A.T - Alexis Jr + Sr."

Menerusi kiriman di Instagram pula, Ohanian mengakui membayar dan mereka bentuk sendiri papan iklan berkenaan.

"Ini hanya didirikan di laluan I-10 menuju ke Palm Springs. Saya mahu mengucapkan selamat datang kepadanya ke gelanggang tenis semula. Saya cipta bentuknya dengan bantuan si kecil,” tambahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 8:09 AM