Aksi Rafael Nadal di Kejohanan Tenis Indian Wells. FOTO AFP
Aksi Rafael Nadal di Kejohanan Tenis Indian Wells. FOTO AFP
Agensi

Indian Wells: Rafael Nadal terpaksa berehat antara empat dan enam minggu kerana mengalami kecederaan retak tulang rusuk.

Sensasi Sepanyol itu mengalami kecederaan ketika melakar kemenangan ke atas rakan senegara, Carlos Alcaraz pada aksi separuh akhir di kejohanan Indian Wells.

Juara Grand Slam 21 kali itu mengalami masalah sukar bernafas dan berkata dia menggigil ketika tewas pada aksi final kepada Taylor Fritz.

Nadal, 35, dijangka terlepas dua pertandingan di gelanggang tanah liat bulan depan dekat Monte Carlo dan Barcelona, ketika Terbuka Perancis, di Paris pula bermula 22 Mei depan.

Nadal memenangi kejuaraan di Roland Garros dengan rekod 13 kali.

Dalam ciapan di media sosial, dia berkata apabila dia kembali ke Sepanyol dia segera mendapatkan rawatan daripada pasukan perubatannya untuk melakukan pemeriksaan selepas beraksi dalam keadaan yang tidak selesa pada final.

Tambahnya: "Selepas melakukan beberapa ujian saya dapati terdapat kecederaan pada tulang rusuk. Ini adalah berita yang kurang baik dan saya tidak menjangkakan perkara ini."

Nadal beraksi cukup menakjubkan awal tahun ini, selepas merangkul kejayaan di Terbuka Australia apabila dia menewaskan Daniil Medvedev dalam final bersejarah itu.

Kekalahan menentang Fritz di California adalah yang pertama pada tahun ini selepas memenangi 20 perlawanan berturut-turut sehingga hujung saingan.

Nadal dijangka menumpukan kepada pemulihan kecederaannya dalam tempoh empat minggu dan kejohanan seterusnya baginya adalah beraksi di Terbuka Madrid yang dijadualkan berlangsung enam minggu lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2022 @ 8:45 AM