MUHAMMAD Khairuddin (tengah) dilihat sebak selepas memenangi pingat emas. FOTO Affan Rostam
MUHAMMAD Khairuddin (tengah) dilihat sebak selepas memenangi pingat emas. FOTO Affan Rostam
Affan Rostam


Putrajaya: Linangan air mata atlet angkat berat Terengganu, Muhammad Khairuddin Ashaari menjadi bukti bahawa usaha yang dilakukan untuk memenangi pingat emas di Sukan Malaysia (Sukma) 2022 bagi kategori bawah 67 kilogram (kg), hari ini, akhirnya terbayar.

Muhammad Khairuddin, 19, yang membuat penampilan kedua dalam Sukma itu berjaya mengesahkan pingat emas menjadi miliknya dengan angkatan seberat 124kg untuk snatch dan 157kg untuk clean & jerk yang menjadikan jumlah angkatan keseluruhan, 281kg.

Manakala, pingat perak dimenangi atlet dari Perak, Muhammad Danial Dahlan selepas merekodkan jumlah angkatan keseluruhan seberat 280kg (125kg, 155kg) dan Kevdylan dari Sabah meraih gangsa dengan 278kg (123kg, 278kg).

Muhammad Khairuddin berkata, sepanjang pembabitannya dalam Sukma, ini adalah pingat emas yang pertama dan ia menyebabkan atlet kelahiran Batu Rakit itu tidak dapat menahan rasa sebak sekali gus mengalirkan air mata kegembiraan.

"Bila tahu saja saya dapat emas terus rasa sebak. Sasaran sebenarnya adalah pingat perak tapi saya berjaya dapat emas dan ini adalah rekod peribadi terbaik saya, alhamdulillah saya berpuas hati," katanya ketika katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian pingat di Kompleks Kejiranan, Presint 11, di sini, hari ini.

Tambahnya, motivasi untuk menang datang selepas menerima sokongan padu daripada orang disekeliling selain turut berharap dengan kejayaan kali ini mampu mencerahkan harapannya untuk mewakili negara pada masa akan datang.

"Saya rasa gembira bila lihat ramai yang beri sokongan kepada saya hari ini. Bila nak angkat tu terus rasa semangat dan itu juga adalah motivasi terkuat untuk saya.

"Semangat saya juga datang bila teringat kepada mak ayah, kawan-kawan dan saya nak buat yang terbaik untuk negeri. Jadi, emas ini hadiah buat mereka.

"Harapan untuk mewakili negara itu ada, saya harap dengan kejayaan hari ini dapat memberi peluang kepada saya untuk mewakili Malaysia pada masa akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 September 2022 @ 4:25 PM