AZURA (tiga dari diri) bersama Hannah (tengah) bergambar bersama peserta selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat KBS bersama Adamas di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
AZURA (tiga dari diri) bersama Hannah (tengah) bergambar bersama peserta selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat KBS bersama Adamas di Putrajaya, hari ini. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Ferzalfie Fauzi


Putrajaya: Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mengesahkan memberi tempoh sehingga 11 Julai ini kepada atlet olahraga yang gagal ujian doping di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023, memberikan surat tunjuk sebab.

Pengarah Adamas, Azura Abidin berkata, jika atlet olahraga berkenaan tidak membalas surat tunjuk sebab pada tarikh ditetapkan, mereka akan menjalankan siasatan sebelum mengadakan perbicaraan.

"Bagi tempoh sekarang atlet berkenaan perlu membalas surat tunjuk sebab dan mencabar ujian sampel B.

"Jika dia tidak buat berbuat demikian, siasatan akan dijalankan dan Adamas bakal menjatuhkan hukuman," katanya ketika ditemui di Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat KBS bersama Adamas, Pegawai Kawalan Doping (DCO) dan Pendidik Anti Doping (Educator) di sini, hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Azura berkata, jika Adamas berpuas hati (selepas siasatan), barulah mereka akan menjatuhkan hukuman, manakala di pihak atlet, dia mempunyai dua pilihan sama ada mengaku bersalah atau membawa ke panel pendengaran.

"Kita tunggu 11 Julai sehingga jam 5 petang. Kalau atlet berkenaan beri surat tunjuk sebab dan ujian sampel B barulah kita akan siasat.

"Jika tidak berbuat demikian selepas 11 Julai barulah kita terus jatuhkan hukuman," katanya.

Sementara itu Azura berkata, tiada kes doping membabitkan atlet yang mengambil bahagian di Sukan Sea Kemboja, baru-baru ini, manakala atlet berkenaan hanya gagal ujian itu di kejohanan di Kuala Lumpur.

Bulan lalu, Adamas mengumumkan terdapat atlet olahraga gagal dalam ujian doping yang dijalankan ketika beraksi Kejohanan Trek dan Balapan KOM 2023.

Bagaimanapun, dalam kenyataan pada 10 Jun itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mendedahkan status individu sama ada ia adalah atlet kebangsaan atau sebaliknya, memandangkan kejohanan itu membabitkan beberapa kelab dan pasukan negeri.

Pengesahan keputusan diterima dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet olahraga berkenaan dengan penemuan bahan terlarang dalam sampel berkenaan iaitu dalam kelas S.6 Stimulants-sibutramine.

Sibutramine bahan disenaraikan dalam senarai bahan dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Atlet berkenaan digantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2023 @ 1:31 PM