Treler bawa muatan kayu balak terbalik di lampu isyarat Persimpangan Bendahara. FOTO Ihsan Pembaca
Treler bawa muatan kayu balak terbalik di lampu isyarat Persimpangan Bendahara. FOTO Ihsan Pembaca
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Sebuah treler yang membawa muatan kayu balak dan terbalik di lampu isyarat Persimpangan Bendahara, di sini, adalah berpunca daripada 'turn table' yang patah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, lori balak yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 58 tahun dipercayai dari arah Bandar menuju ke Kuala Lipis, Pahang.

"Sampai di lokasi kejadian, semasa membelok 'turn table' treler terbabit patah dan menyebabkan ekor treler yang membawa muatan kayu balak terbalik.

"Akibat daripada ekor treler yang terbalik, muatan balak yang dibawa terkena seorang penunggang motosikal dan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang berada di laluan bertentangan dan sedang berhenti kerana lampu Isyarat merah.

"Pemandu treler dan kereta tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan.

"Siasatan lanjut masih dijalankan. Di minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian bolehlah menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 012-4027283.

Terdahulu media melaporkan Seorang wanita cedera parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, hari ini.

Lori balak yang membawa muatan kayu balak itu dikatakan terbalik ketika melalui persimpangan lampu isyarat itu menyebabkan Siti Norelyana Kamaruzan, 21, yang menunggang motosikal tercampak apabila dirempuh salah satu kayu balak yang jatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 6:30 PM