AZALINA, gambar fail. FOTO Bernama
AZALINA, gambar fail. FOTO Bernama
Mohd Nasaruddin Parzi


Kuala Lumpur: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 yang didedahkan minggu lalu dibahaskan di Dewan Rakyat bermula hari ini.

Ia bagi membuka ruang kepada 52 ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang, membahas dan membuat teguran serta cadangan penambahbaikan kepada perkara yang disentuh dan dibangkitkan dari laporan dikeluarkan Jabatan Audit Negara itu.

Perbahasan juga seiring komitmen ahli Dewan Rakyat serta usaha kerajaan minggu lalu meluluskan Akta Audit 1957 (Akta 62), yang tidak pernah dipinda sejak 33 tahun lalu atau kali terakhir pindaan dibuat pada 1991.

Pindaan diluluskan minggu lalu itu antara lain memperluaskan tugas dan kuasa yang membenarkan Ketua Audit Negara memeriksa, menyiasat dan mengaudit akaun mana-mana badan lain, termasuk syarikat didaftarkan mengikut Akta Syarikat 2016 (Akta 777), yang menerima jaminan kewangan Kerajaan Persekutuan atau negeri.

Terdahulu, usul LKAN itu dibentang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, sebelum disokong Timbalannya, M Kulasegaran.

Azalina ketika membentangkan usul itu berkata, perbahasan membolehkan perhatian dan pengamatan mendalam semua pihak dapat diberikan bagi mendokong hasrat kerajaan mewujudkan tadbir urus sektor awam lebih baik selain penelitian di bawah Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Katanya, perbahasan di Parlimen akan memberi kesan positif antaranya isyarat jelas kepada semua pentadbir dana awam termasuk pihak yang dilantik untuk mengurus badan berkanun, pihak berkuasa awam dan syarikat kerajaan.

"Dewan ini serius dalam memerangi kecurangan, kebocoran dan kelemahan tatakelola yang boleh membawa kepada ketirisan yang merugikan kerajaan.

"(Perbahasan juga akan) menjadi faktor pencetus pihak berkaitan untuk mengambil tindakan wajar dan seterusnya mempercepatkan penyelesaian isu yang dibangkitkan oleh LKAN," katanya.

Katanya, sesi perbahasan ini juga mampu memupuk budaya bertanggungjawab dan ketelusan dalam semua aspek pentadbiran awam seiring dengan usaha mentransformasikan Dewan Rakyat yang berperanan sebagai semak dan imbang kepada kuasa eksekutif.

"Perdana Menteri menegaskan bahawa semua menteri bertanggungjawab selaras dengan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan yang sedang berkuatkuasa mesti meneliti setiap teguran yang dibangkitkan Ketua Audit Negara dalam LKAN 2024 ini terutama membabitkan perkara berulang yang masih berlaku ditangani secara tuntas oleh pihak yang bertanggungjawab," katanya.

Sesi perbahasan LKAN di Dewan Rakyat pertama kali dilaksana oleh kerajaan pada Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 5:53 PM