Adam Radlan Adam Muhammad hadir perbicaraan kes membabitkan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA
Adam Radlan Adam Muhammad hadir perbicaraan kes membabitkan 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berhubung projek Jana Wibawa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut Adam Radlan Adam Muhammad mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan projek Jana Wibawa yang dihadapinya.

Ringkasan Berita
  • Adam Radlan mengemukakan representasi kepada AGC berhubung 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
  • Perbicaraan kes ditangguhkan sehingga 6 Ogos untuk keputusan representasi.
  • Adam Radlan didakwa meminta dan menerima suapan berkaitan projek Jana Wibawa.
  • Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan, 43, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin bahawa representasi itu sudah diserahkan kepada AGC pada 4 Julai lalu.

    "Pihak pendakwaan memerlukan masa sebulan untuk meneliti dan mengkaji representasi yang dikemukakan anak guam (Adam Radlan) kami. Oleh itu, kami mohon penangguhan perbicaraan kes yang ditetapkan pada bulan ini," kata peguam itu.

    Beliau berkata demikian selepas saksi pendakwaan pertama selesai memberi keterangan pada perbicaraan kes Adam Radlan yang berdepan lima pertuduhan rasuah dan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram.

    Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mengesahkan telah menerima representasi yang dihantar pihak pembelaan pada 5 Julai dan memerlukan masa sebulan untuk meneliti serta mengkaji representasi, selain tidak membantah penangguhan perbicaraan kes.

    Suzana menetapkan 6 Ogos ini untuk keputusan representasi, namun sekiranya representasi ditolak, mahkamah mengarahkan perbicaraan diteruskan pada 7 Ogos.

    Ketika ditanya pemberita selepas prosiding kes, Rajan bagaimanapun tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai representasi berkenaan.

    Terdahulu, semasa perbicaraan hari pertama kes itu, penolong pendaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) R. Harshini, 34, mengesahkan bahawa Adam Radlan ialah pengarah dan pemegang saham Bayu Bumiraya Sdn Bhd bermula tarikh lantikan pada 9 Oktober 2013 hingga 25 Januari 2023.

    Saksi pendakwaan pertama itu, yang membacakan pernyataan saksi juga mengesahkan bahawa pengarah bagi syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd ialah Mat Jusoh Mamat dan Zarinah Hamzah, manakala Aliza Abdul Malek dan Mohd Rizman Akum Khan merupakan dua pengarah Nepturis Sdn Bhd.

    "Saya sahkan bahawa dokumen maklumat bagi pengarah syarikat Metrasys Sdn Bhd ialah Lian Tan Chuan dan Lim Mei Koon," kata saksi itu.

    Tiga syarikat itu dikaitkan dengan pertuduhan yang dihadapi Adam Radlan.

    Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa atas satu pertuduhan meminta suapan wang tunai 3.5 hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh yang adalah Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

    Dia turut didakwa menerima suapan RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat itu mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada kerajaan secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

    Adam Radlan juga menghadapi tiga pertuduhan menerima suapan berjumlah RM4.1 juta daripada Lian dan Mat Jusoh, sebagai upah bagi tertuduh membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd serta MIE Infrastructure & Energy mendapatkan dua projek Jana Wibawa dan juga secara rasuah, meminta wang RM2 juta daripada Lian, sebagai upah membantu syarikat Nepturis mendapatkan projek sama.

    Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    Adam Radlan turut berdepan tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3 juta mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

    Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya antara Mac 2021 hingga Jan 2023.

    Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Julai 2024 @ 5:55 PM