PEKAN berharap atlet yang berada dalam Program RTG itu akan terus mendapat bantuan yang lebih baik. FOTO NSTP
PEKAN berharap atlet yang berada dalam Program RTG itu akan terus mendapat bantuan yang lebih baik. FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli melihat jumlah perbelanjaan keseluruhan untuk Program Road To Gold (RTG) sepanjang 2023 tidak begitu besar dan ia memberi manfaat kepada kesemua atlet yang terbabit.

Jelas Pekan, dengan jumlah keseluruhan RM 3.53 juta itu, atlet yang berada di dalam Program RTG sudah diberikan yang terbaik bagi memastikan mereka dapat meningkat prestasi ke tahap lebih tinggi biarpun ada yang gagal menepati sasaran ke Olimpik Paris 2024.

"Sekarang kita tengok perbelanjaan itu memang berpatutan dan tidak banyak digunakan sebab jumlah atlet pun tidak ramai dan nampak lebih seimbang. Tapi apa pun, kita harapkan RTG dengan peruntukan yang ada, dia akan memberi lebih banyak manfaat kepada atlet bukan dari pergi menghantar atlet itu berlatih ke luar negara sahaja tapi paling penting ia (program RTG) mesti membantu meningkatkan prestasi atlet.

"Sama ada dengan dengan cara membeli peralatan baharu atau mendapatkan teknologi baharu atau perlu mendapatkan khidmat dari pakar luar negara, itu kita kena lakukan, "kata Pekan.

Tambahnya, beliau turut berharap atlet yang berada dalam Program RTG itu akan terus mendapat bantuan yang lebih baik demi kejayaan untuk mereka serta negara.

"Atlet berada RTG ini mereka perlu mendapat bantuan lebih outstanding, yang lebih komprehensif. Kita nak macam tu terjadi terhadap atlet kita, itu yang kita sangat sokong," katanya.

Untuk rekod, daripada jumlah keseluruhan itu, atlet di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) antara yang paling banyak menerima peruntukan sepanjang 2023 dengan jumlah lebih RM1.82 juta.

Sementara atlet lain dari sukan terjun (RM458,177.45), angkat berat (RM 20, 025.44, berbasikal (RM 465,239.66), hoki ( RM342, 903.62) dan atlet profesional badminton negara ( lebih RM1, 068 juta).

Terdahulu Arena Metro melaporkan nasib dua penerjun negara, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri akhirnya terjawab apabila mereka digugurkan daripada Program Road To Gold (RTG).

Ini susulan prestasi mereka kurang memberangsangkan di Kejohanan Akuatik Dunia di Doha sekali gus gagal menempah slot ke Olimpik Paris 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 7:37 PM